Berita Hari Ini

SKMM diminta lebih bersedia

KUANTAN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mencari inisiatif untuk memastikan agensi itu dapat mengakses lokasi yang terbabit banjir bagi memantau liputan talian telekomunikasi di kawasan itu.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, langkah segera perlu diambil bagi mengelak kejadian sebelum ini apabila SKMM gagal memastikan talian telekomunikasi berfungsi dengan baik sehingga menyukarkan tugas mencari dan menyelamat.

“Merujuk kepada pengalaman lepas iaitu banjir di tahun lalu, banyak kawasan gagal dihubungi menggunakan telefon dan SKMM pula tidak dapat memantau perkara ini mungkin disebabkan tidak memiliki kemudahan untuk memasuki kawasan banjir.

“Ini kerana semua bot agensi penyelamat digunakan untuk tugas memindahkan penduduk yang terjejas. Jadi, rasanya SKMM juga perlu mempunyai bot sendiri untuk memudahkan mereka melakukan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Peringkat Pahang di sini, semalam.

Menurutnya, disebabkan kelemahan itu liputan telekomunikasi yang teruk berlaku.

“Kita tak mahu perkara itu berulang dan kita sedang mencari jalan atasinya,” katanya.

Shahaniza berkata, tiga lokasi sudah dikenal pasti berdepan masalah gangguan liputan yang teruk tahun lalu iaitu Kuala Krau, Temerloh dan Kuala Lipis.

Bagaimanapun katanya, pihak SKMM dan syarikat pengendali telekomunikasi sudah dimaklumkan untuk diambil tindakan segera.

“Saya sendiri akan mengadakan pertemuan dengan semua syarikat pengendali telekomunikasi untuk mendapatkan maklum balas serta mengetahui apa langkah yang sudah atau akan diambil,” katanya.

Menyentuh mengenai program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan, Shahaniza berkata, acara sebegini sebenarnya dapat mengetengahkan bakat dan kreativiti kanak-kanak melalui aktiviti yang menguji kepintaran akademik serta inovasi mereka.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");