Membawang Hari Ini

Sudah lama terbuku di hati

Kejutan dizahirkan pelakon Zahiril Adzim mengenai percubaan ke cabang pengarahan sejak akhir-akhir ini adalah keputusan yang lama terbuku dalam hatinya.

Ketika memenuhi sesi fotografi sempena promosi terbaharu Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan bersama RAP minggu lalu, Zahiril berkata, penghijrahan itu dipertimbangkan sejak beberapa tahun lalu.

“Cuma dalam tempoh setahun dua kebelakangan ini hasrat itu semakin membuak-buak. Keinginan untuk beralih kerja di belakang tabir itu semakin ketara. Apatah lagi ada pihak yang memberikan kepercayaan dan peluang untuk saya mencuba jadi mengapa tidak saya mulakan sekarang,” katanya yang mulai aktif berlakon sejak 2006.

Pemilik nama sebenar Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 31, berkata, perubahan itu dipengaruhi senario perkembangan karakter dan watak lelaki yang klise serta sama dalam kebanyakan produk drama atau filem.

“Saya lihat kebanyakan watak dan skrip yang ditawarkan kepada saya kurang menarik. Ia lebih kurang sama saja antara satu dengan yang lain. Bukan tiada tawaran, tetapi kalau karya yang diberikan itu berlegar pada watak dan cerita lebih kurang sama cuma berbeza tajuk dan barisan pelakon, tiada kepuasannya lagi,” katanya.

Aktor berasal dari Perak ini berkata, selain faktor tawaran watak dan skrip yang klise, kualiti lakonan yang statik mendorong peralihan bidang itu.

“Apabila saya tengok lakonan sendiri sama saja dalam setiap watak, itu petanda saya sudah tepu dan perlu beralih arah seketika. Sebab itu saya tidak mahu terima sembarangan tawaran untuk drama bersiri. Lainlah kalau telefilem mungkin akan dapat watak dan cerita berbeza sikit.

“Maka, saya fikir perlu beralih kepada pengarahan. Jika tidak mulakan sekarang saya takkan bermula langsung,” katanya.

Sambungnya, sebagai permulaan, katanya dia baru saja selesai mengarahkan telefilem Dikabaran terbitan FM Maju.

“Sebenarnya projek itu sudah dua tahun saya tinggalkan kerana ketika itu macam senyap saja tiada perkembangan. Sebelum Aidilfitri lalu, RTM menghubungi penerbit dan rupanya projek itu diterima dan kami teruskanlah penggambaran.

“Saya baru saja selesai penggambaran dua minggu lalu. Memang mencabar juga sebab saya buat tiga peranan iaitu pengarah, penulis skrip dan pelakon.

“Saya akui ia bukan tugas mudah dan sangat memenatkan apabila kena buat tiga tugasan serentak, tetapi Alhamdulillah saya puas hati kerana dapat mencorakkan idea saya dengan cara sendiri,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");