Perak Hari Ini

SUKMA 2018: Kerajaan Negeri Mohon Peruntukan RM200 Juta

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan membuat permohonan dalam mendapatkan peruntukan yang dianggarkan berjumlah RM200 juta untuk membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang dijangkakan berlangsung di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, permohonan tersebut akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dalam masa yang terdekat.

Ujarnya, peruntukan berkenaan adalah bertujuan untuk membaikpulih kemudahan-kemudahan di beberapa tempat yang akan digunakan semasa penganjuran acara berkenaan di negeri ini.

“Kita jangkakan pada akhir bulan ini kita akan menghantar permohonan kepada Kementerian Kewangan sekitar RM200 juta.

“Jadi antara yang utama adalah nak baikpulih Stadium Perak, Kompleks Renang yang berkemungkinan akan dibina baru dan Lapang Sasar juga akan dibuat balik,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

PERAKTODAY12

Ujarnya, permohonan tersebut masih berada di peringkat perbincangan dan keputusannya nanti belum dapat dipastikan.

“Ini baru cadangan untuk membuat permohonan, belum tentu diluluskan.. Kita jangka dalam masa dua bulan ini kita akan hantar sebab ini baru peringkat pegawai dulu… Belum peringkat exco lagi,” katanya lagi.

Beliau berkata, sekiranya peruntukan tersebut diluluskan, berkemungkinaan kerajaan negeri mampu untuk membaikpulih kemudahan-kemudahan tersebut sebelum berlangsungnya SUKMA 2018.

“Kita jangkakan kalau kita dapat buat, kita ada tiga tahun lagi dan tempoh pembinaan memakan masa dua tahun… paling lewat dua tahun setengah, sempatlah kita pakai dalam masa enam bulan.

“Kita tak nak jadi macam kes-kes bila ada kejohanan, stadium tak siap lagi… Ini pun kita rasa dah lewat dah, tapi kita cuba cepatkan. Itu yang saya boleh janji sekarang ini,” tambahnya lagi.

Terdahulu, beliau telah menghadiri Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan negeri di sini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");