Membawang Hari Ini

Sunyi tanpa insan bergelar isteri

Tanggal 24 September lalu genaplah usia Fezrul Khan 33 tahun. Bagi meraikan ulang tahunnya itu, satu sambutan majlis hari jadi dianjurkan kelab peminatnya, DeFkhan’s Tribe pada 4 Oktober lalu.

Bertemakan I Am A Movie Star, majlis itu berlangsung secara sederhana namun meriah. Apatah lagi kehadiran tetamu dan peminat dengan kostum masing-masing menceriakan lagi suasana.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Ia dirancang sepenuhnya kelab peminat saya dan Shaheizy Sam iaitu The Magician Family. Bukan apa, saya dan Sam berkongsi bulan lahir sama jadi mereka bergabung mengadakan majlis ini.

“Ini kali ketiga kami diraikan dalam satu majlis. Saya dan Sam memang rapat jadi tak ada masalah. Seronok dapat mengeratkan silaturahim dengan peminat masing-masing,” katanya.

Jelas Fezrul, selain aktiviti itu kelab peminatnya turut menganjurkan pelbagai acara termasuk percutian, minum petang dan menonton wayang.

Dalam pada bergembira, Fezrul atau nama sebenar–nya Fezrul Khan Junaidi terasa sunyi tanpa insan bergelar isteri di sisi.

Umum mengetahui, Fezrul dan isterinya, Noorhafizah Zulkafli, 31, bercerai pada 19 Ogos lalu selepas tiga tahun berkahwin.

“Tipu kalau saya kata tak sunyi. Terasa berbeza apabila dia tiada. Apa pun saya perlu melawan perasaan itu.

“Kehadiran keluarga, sahabat dan peminat sedikit sebanyak mengubat kesunyian itu,” katanya.

Bagaimanapun, Fezrul memberitahu anak dan bekas isterinya ada menitipkan ucapan selamat hari jadi kepadanya.

Sambung Fezrul, dia memberi kuasa mutlak kepada bekas isteri menjaga anak lelaki mereka, Farrell Khan, 2.

“Kalau dulu balik kerja, isteri ada di rumah dan melayan, terus hilang penat. Sekarang, saya perlu lalui perubahan itu.

“Memandangkan anak di bawah penjagaan bekas isteri, saya tak risau sangat. Ada masa lapang saya akan melawat Farrell,’ katanya.

Menyentuh soal jodoh, Fezrul tidak menolak sekiranya dipertemukan pengganti dalam waktu terdekat.

“Saya ikut saja ketentuan yang ditetapkan Allah. Kata orang, ‘just go with the flow’. Pun begitu, saya tak mencari.

“Bukan apa, buat masa ini saya mahu fokus

pada lakonan. Bidang ini memerlukan kita banyak berfikir terutama soal watak yang bakal dijayakan,” katanya.

Beralih perihal karier, Fezrul baru saja selesai menjalani penggambaran drama Alif Imani untuk slot Ratu di TV9.

Selain itu, Fezrul bakal muncul dengan filem Mirip menggandingkannya dengan Reen Rahim dan Ezzaty Abdullah yang akan menjengah pawagam pada 25 November ini.

“Saya bawa dua watak iaitu sebagai Nik, seniman jalanan dan Irwan (ahli perniagaan). Bagi saya, tugasan itu sangat mencabar.

“Pengarah dan kru produksi dari India yang sudah biasa dengan penggambaran berskala besar. Amalan sama dipraktikkan dalam filem ini.

“Mereka sangat menekankan ‘syot’, emosi dan sangat terperinci hingga benda yang kita sangka remeh dirakam berkali-kali bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Menjayakan filem ini cukup mencabar dan jauh lebih sukar daripada penggambaran yang dilakukan produksi tempatan. Namun ia pengalaman yang bagus kerana saya dapat belajar banyak perkara baru,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");