Membawang Hari Ini

Teater Bangsa: Anak Kecil Main Api mengusik jiwa

BARU sahaja melabuhkan tirainya setelah dipentaskan tiga hari berturut-turut di Blackbox, Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Teater Bangsa : Anak Kecil Main Api (Bangsa) nyata memberi seribu satu makna kepada penonton teater itu.

Memaparkan plot yang mengangkat perjuangan antara dua bangsa di Malaysia, iaitu Melayu dan Cina, karya hebat arahan Khairi Anwar ini berperanan besar dalam mendidik masyarakat supaya lebih menghormati bangsa yang berbilang kaum di negara ini.

Perjalanan cerita bermula apabila terdapatnya percanggahan prinsip bangsa Melayu yang diwakili oleh dua orang sahabat karib, iaitu Manan dan Rizal.

Bapa Manan dan Rizal, Abdul Malik dan Abdullah merupakan antara mangsa yang terkorban dalam peristiwa hitam 13 Mei 1969 di Panggung Odeon.

Terkesan dengan peristiwa tersebut, Manan membesar dengan perasaan dendam terhadap kaum lain, khususnya orang Cina.

Berlainan pula dengan Rizal yang memilih untuk mengingati orang Cina yang telah menyelamatkan ibunya serta ibu Manan dari tragedi berdarah tersebut dan menghantar mereka pulang ke rumah dengan selamat.

Penghujung cerita ini menunjukkan pengajaran bahawa kita boleh memajukan bangsa sendiri tanpa menjatuhkan atau mengetepikan bangsa lain.

Menarik mengenai pementasan ini, setiap pelakon meskipun bukan di kalangan aktivis teater terkenal, namun mereka berjaya memberikan sebuah lakonan yang penuh penghayatan.

Boleh dikatakan, menerusi penyampaian kata-kata dan bahasa tubuh yang dilontarkan dilihat sampai kepada penonton pementasan berkenaan.

Tidak memerlukan prop hebat, pementasan ini cukup berkesan meskipun hanya dilengkapi pelakon, pencahayaan dan beberapa set kecil.

Apa yang penting, perjalanan teater ini berkesan mengusik jiwa penonton yang menyaksikan teater itu.

Pementasan tersebut turut dihadiri pejuang karya-karya patriotik dalam industri seni iaitu Datuk Paduka Suhaimi Baba yang merupakan pencipta lagu Warisan (Anak Kecil Main Api) dan Tan Sri Dr. Nordin Kardi.

Isu perkauman cabaran besar

Bercerita lanjut mengenai pemilihan karya ini, kata Khairi, ia merupakan satu cabaran besar baginya.

Jelasnya, bukan mudah untuk memastikan karya tersebut tidak menyinggung sensitiviti penonton lebih-lebih apabila menyentuh isu perkauman.

“Agak sensitif di mata segelintir individu atau penonton itu sendiri apabila plot sebegini dipentaskan

“Tetapi jangan memandang ke arah negatif sahaja, sebaliknya kita harus mengambil aspek yang positif.

“Bangsa ini sendiri saya tulis bertujuan untuk akademik dan mendidik penonton,” katanya sangat berhati-hati membikin teater itu supaya mesej sebenar yang ingin disampaikan tidak terpesong.

Berkongsi perasaan mengenai pementasan tersebut, katanya, dia sebenarnya amat terkejut dan terharu dengan respons penonton yang muncul daripada pelbagai latar bangsa.

“Penonton berbangsa Cina lebih menghargai cerita ini, dalam konteks ini mereka tampak lebih memahami dan merasai perasaan orang Melayu.

“Manakala penonton berbangsa Melayu pula kebanyakannya berterima kasih atas mesej yang disampaikan dalam teater ini,” katanya.

Mengulas mengenai pelakon, ujar Khairi dia amat berpuas hati dengan setiap pelakon yang menjayakan teater itu.

“Bagaimana pun, pelakon yang memberikan lakonan paling berjaya adalah Shafiq Kauzi yang membawa watak Rizal. Ini kerana walaupun dia masih baru dalam bidang teater tetapi dia mampu menyampaikan rasa dan mutu lakonan pada tahap yang saya kagumi.

“Hanya Shafiq dan saya sahaja tahu bagaimana kami menjalani latihan untuk merealisasikan watak Rizal.” Jelasnya.

Sukar dalami watak

Dalam pada itu, teraju utama Bangsa, Zulhusni Zamir, 25, menyifatkan watak Manan sukar untuk dilakonkan kerana ia berbeza dengan personaliti sebenarnya.

“Pemarah dan keras kepala bukan sifat yang dekat dengan saya. Bagaimanapun, setelah melakukan kajian, pemerhatian dan perbincangan akhirnya saya berjaya wujudkan watak Manan pentas.

“Sehingga kini, saya masih teruja dan terkejut apabila dapat memahami keseluruhan skrip dan watak yang dibawa.” Katanya.

Jelasnya, dia berasa puas kerana diberi kepercayaan menjadi teraju utama teater itu.

“Kerana kesukaran mendalami watak tersebut sebelum ini, saya tanamkan dalam diri untuk meneruskan lakonan dalam bidang teater.

“Bahkan saya turut menyokong sesiapa sahaja yang ingin menceburi teater, kerana ia mungkin akan membuatkan kita bertemu dengan sisi diri yang tidak pernah keluar sebelum ini,” jelasnya.

Sementara bagi Shafiq Kauzi, 22, menjadi Rizal sangat membimbangkan dirinya sementelah peranan itu agak besar dan mencabar kemampuannya bergelar pelakon teater sebelum ini.

“Saya tak pernah dapat watak besar sebelum ini jadi agak risau untuk lakonkan watak Rizal. Namun hasil bantuan daripada pengarah, pembantu pengarah dan semua pelakon, akhirnya saya berjaya membawa cerita dan watak tersebut seperti yang dikehendaki oleh mereka,” katanya babak paling mencabar ketika membaca sajak Perjuangan Belum Selesai.

Namun, dia bersyukur kerana setiap bait-bait sajak itu dapat disampaikan dengan jelas dan sepenuh hati kepada penonton.

Perspektif berbeza

Tidak hanya dipelopori oleh pendatang baru, sebaliknya Bangsa turut mendapat penglibatan pelakon teater yang tidak asing lagi dalam industri itu.

Meskipun lebih popular menerusi teater Inggeris, tetapi Nabil Zakaria, 25, sangat menghargai karya ini.

Memegang watak sebagai Haidhar, anak kepada Manan, Nabil memberitahu cabaran utamanya adalah untuk menyesuaikan diri dengan Anomalist Production.

“Saya sudah biasa dengan gaya kerja tersendiri, bekerja dengan produksi baru membuatkan saya terbuka dalam menerima perspektif berbeza dalam teater.

“Di awalnya, memang agak sukar, tetapi selepas membuang ego, saya mula menerima cara kerja pengarah serta pembantunya dan juga produksi ini secara keseluruhan,” katanya.

Tambahnya, babak Haidhar ditampar oleh Manan dan diugut untuk dihalau dari rumah merupakan babak paling mencabar untuk dilakonkan olehnya.

“Babak ini sukar kerana saya harus membenarkan ugutan Manan untuk benar-benar mempengaruhi Haidhar, seorang anak yang amat taat kepada bapanya.

“Saya perlu merasai impak ugutan tersebut dan melepaskan tahap emosi yang sesuai, jadi ia amat sukar kerana sejujurnya saya bukanlah seorang pelakon yang mudah menangis,” katanya.

Bagi Amira Saberi, 24, pula, diberi kepercayaan menjadi dua karakter iaitu Sarah dan jururawat berbangsa Cina bernama Leia sangat mengujakan.

“Walaupun kondisi saya tidak baik ketika itu kerana diserang demam campak, tetapi ia tidak melemahkan saya.“Dengan kata-kata semangat daripada pengarah dan krew produksi, saya cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");