Berita Hari Ini

Terima pelarian: Malaysia sudah main peranan

KUALA LUMPUR – Penerimaan kerajaan ke atas 3,000 pelarian Syria menunjukkan bahawa kerajaan memainkan peranan sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan yang diambil bukan sahaja dibuat atas dasar perikemanusiaan, malah ia juga memberikan kesan jangka panjang kepada negara.

“Kita antara negara Islam yang dihormati di peringkat antarabangsa, jadi kita kena tunjukkan contoh bagaimana kita menerajui aspek kemanusiaan ini kepada negara Islam yang lain.

“Kalau kita sebagai sebuah negara kecil dan kerdil boleh memainkan peranan sebegitu, kenapa tidak negara Islam yang besar untuk membantu saudara kita?” katanya ketika ditemui Sinar Online selepas merasmikan sebuah program di sini, hari ini.

Malaysia akan menawarkan penempatan dan peluang pekerjaan sementara kepada 3,000 pelarian Syria serta akses pendidikan kepada anak-anak mereka semasa berada di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada Khamis lalu bahawa penerimaan pelarian berkenaan menunjukkan sikap perikemanusiaan dan keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap nasib yang menimpa rakyat Syria.

Menurut Asyraf lagi, perlindungan yang diberikan kepada pelarian Syria bukan sahaja menonjolkan imej yang positif kepada negara, malah ia juga membantu rakyat Syria membina kembali kehidupan mereka yang musnah sebelum ini.

“Kita bukan sahaja beri perlindungan, tetapi kita juga membantu mempersiapkan kehidupan rakyat Syria pada masa akan datang, sepertimana yang kita lakukan kepada pelarian Bosnia yang kita bantu suatu ketika dahulu.

“Rakyat Bosnia yang kita pernah bantu dahulu tidak menetap di sini, sebaliknya kita berjaya membentuk satu generasi baharu Bosnia yang akhirnya pulang dan menyumbang kepada negara mereka,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");