Berita Hari Ini

Tiga Akta Cukup Kuat Tangani Ancaman IS – Khalid

KUALA LUMPUR: Tiga akta sedia ada sudah mencukupi untuk mengekang aktiviti ekstremisme termasuk kumpulan militan Negara Islam (IS)di negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Tiga akta itu ialah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012(SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013 dan Akta Pencegahan Keganasan2015 (POTA).

Khalid berkata kesemua akta berkenaan sudah cukup kuat dan lebih baik daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

“Kita ada akta yang bagus untuk tangani kegiatan ekstremisme yang mendorong ke arah keganasan. Jadi kita fikir tidak ada keperluan untuk diguna pakai semula ISA terutamanya dalam menangani isu keganasan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Forum Crime Matters bersama wakil rakyat di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, di sini, hari ini.

Khalid berkata tujuan forum ini diadakan adalah untuk memberi penjelasan IS kepada wakil rakyat dan masyarakat.

“Ini kerana masih terdapat rakyat tidak mempercayai ancaman IS dan menganggap ia satu drama atau sandiwara kerajaan semata-mata, itulah sebab kami panggil wakil rakyat untuk memberi penerangan mengenai isu ini.

“Polis akan meneruskan perancangan bagi memastikan ancaman IS dapat dikekang sepenuhnya,” katanya.

Khalid berkata masyarakat atau ibu bapa mesti tahu keupayaan IS untuk mempengaruhi anak muda, selain menyasarkan ibu tunggal dan orang bermasalah.

Katanya orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan IS kepada polis sekiranya melihat aktiviti yang mencurigakan di sekitar kawasan tempat tinggal mereka.

Turut hadir dalam forum itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat dan Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");