Berita Hari Ini

Tingkat kesedaran bersukan

Putrajaya: Program Kecergasan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menyasarkan lebih 17,000 peserta membabitkan pelajar sekolah, guru dan warga kementerian supaya bersama mengamalkan gaya hidup sihat, sekali gus meningkat kesedaran terhadap kepentingan bersukan dalam kalangan individu.

Program itu dianjurkan sempena Hari Sukan Negara (HSN) yang menjadi manifestasi gagasan diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi meraikannya pada Sabtu minggu kedua, Oktober setiap tahun.

Antara sekolah yang mengambil bahagian adalah Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), beberapa sekolah di Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Bukan itu saja, penyertaan daripada murid pendidikan khas bakal menggamatkan lagi suasana program, sekali gus membuktikan setiap golongan perlu bersenam bagi mendapatkan kesihatan optimum.

Bertempat di Dataran Putrajaya, peserta yang juga membabitkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan masyarakat setempat berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan senamrobik, futsal dan bola jaring.

Namun, acara yang menjadi kemuncak dalam program itu adalah Jalan Ria 1Murid 1Sukan iaitu acara larian sejauh 4.3 kilometer di sekitar Putrajaya yang bakal menghimpunkan semua peserta pada masa sama.

Pengarah Bahagian Sukan KPM Datuk Marina Chin berkata, selaras dengan Dasar 1Murid 1Sukan yang mewajibkan setiap murid mengambil bahagian sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah, Program Kecergasan dilihat dapat menggalakkan murid terbabit dengan aktiviti sukan secara aktif.

“Melalui program ini juga, ia dilihat mampu membentuk masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat supaya menjadi amalan berterusan dalam kehidupan seharian.

“Kelainan Program Kecergasan pada tahun ini, bukan saja ia diadakan serentak dengan HSN, malah aktiviti cabutan bertuah dijangkakan dapat menarik lebih ramai peserta seperti yang disasarkan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Program yang akan dirasmikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid itu akan bermula seawal jam 7.30 pagi yang dimulakan dengan acara senamrobik bagi menaikkan semangat peserta menjalankan aktiviti sihat.

Marina berkata, Bahagian Sukan sebelum ini mencadangkan beberapa aktiviti yang boleh dilaksanakan di setiap peringkat iaitu sekolah, Pejabat Pendidikan daerah dan Jabatan Pendidikan negeri mengikut kemampuan dan kemudahan sedia ada.

“Kita bersetuju untuk menjadikan 10 Oktober ini sebagai cuti ganti di semua sekolah seluruh negara, namun pelajar hanya akan menjalani aktiviti sukan pada hari berkenaan.

“Justeru, melalui persetujuan dalam mesyuarat Profesional KPM, lebih 5.3 juta murid dan warga pendidik di seluruh negara yang tidak dapat menyertai Program Kecergasan di Putrajaya akan turut menjalankan aktiviti sukan di sekolah masing-masing secara serentak.

“Terdapat banyak aktiviti yang boleh dijalankan di peringkat sekolah seperti berbasikal, larian, seni mempertahankan diri dan aktiviti kecergasan fizikal tanpa menggunakan kos yang banyak, namun boleh memberikan impak kesihatan yang diinginkan,” katanya.

Agensi luar yang turut terbabit dalam menjayakan Program Kecergasan ialah Nestle, Yayasan Bank Rakyat, Putrajaya Holdings dan banyak lagi.

“Pembabitan agensi luar dalam program kali ini membuktikan kesedaran terhadap kepentingan mengamal gaya hidup sihat berada di landasannya bukan saja daripada masyarakat setempat, malah kumpulan korporat.

“Peranan setiap agensi juga banyak memudahkan perjalanan Program Kecergasan seperti memberi sumbangan makanan, minuman, baju dan penajaan hadiah,” katanya.

Program Kecergasan yang selalunya diadakan pada Julai setiap tahun itu turut menyediakan tempat kepada badan kerajaan seperti pihak hospital untuk memeriksa tahap kesihatan kepada peserta secara umumnya.

“Secara umumnya, program ini menawarkan bukan saja ruang bagi keluarga melakukan acara sihat pada hujung minggu, malah aktiviti yang dianjurkan berupaya menerapkan kesedaran untuk menjadikan amalan bersukan sebagai rutin harian setiap individu,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai Program Kecergasan hanya perlu hadir pada 10 Oktober ini seawal jam 7 pagi untuk pendaftaran sebelum dimulakan dengan aktiviti senamrobik.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");