Isu Panas

TPP: Ahli Parlimen mesti bahas dengan telus

SHAH ALAM – Ahli-ahli Parlimen perlu meneliti dan membahaskan usul melibatkan Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada sidang Dewan Rakyat bermula pada pertengahan bulan ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia peluang terbaik bagi kesemua pimpinan kerajaan dan pembangkang untuk membincangkan kesan jangka panjang negara dari segi ekonomi.

“Kita semua tidak mahu akibat daripada TPP ini nanti akhirnya berlaku penjajahan ekonomi oleh para kapitalis dunia terhadap negara yang menyebabkan rakyat hanya menjadi saksi kepincangan ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Malaysia bersama 11 negara lain telah mencapai persetujuan dalam rundingan perdagangan bebas TPP yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di semua negara anggota.

Memetik sumber Reuters, perkara itu sudah dipersetujui oleh semua Menteri-menteri Perdagangan negara Pasifik yang menghadiri mesyuarat Menteri-menteri TPP di Atlanta, Amerika Syarikat bermula Rabu lalu.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Majlis Syura Ulama Pas turut menyifatkan kenyataan penasihat utama kepada Barack Obama, Michael B.Froman adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustafa Mohamed beberapa hari sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada apa-apa keputusan besar akan terhasil daripada rundingan yang diadakan di Atlanta selama beberapa hari itu.

“Tiba-tiba pada petang semalam, kesemua menteri perdagangan dan para perunding daripada 12 negara yang terlibat mengumumkan telah mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan terma-terma perjanjian tersebut,” katanya lagi.

Katanya lagi, meskipun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui menterinya dalam kenyataan pada lewat malam tadi menegaskan bahawa penyertaan Malaysia di dalam TPP hanya akan diputuskan setelah dibahas dan diluluskan Parlimen, ia bagaimanapun bukan suatu yang mudah kerana rundingan TPPA telah berlangsung secara sulit sejak 5 tahun lalu.

“Sidang Parlimen akan datang pula bakal menjelma tidak lama lagi dan tempohnya amat singkat untuk tujuan tersebut.

“Saya tidaklah menafikan keperluan untuk perkara ini dibawa ke Parlimen bahkan saya juga telah mendesaknya beberapa kali sebelum daripada ini. Saya menuntut semua ahli-ahli Parlimen agar bersikap telus dan tulus dalam membahaskan isu ini nanti. Ia adalah teramat penting kerana melibatkan kedaulatan dan kesan jangka masa panjang terhadap negara dan rakyat Malaysia,” tegasnya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");