Membawang Hari Ini

Watak santai idaman Rita

Sering kali menghidupkan watak berat dan air mata, ada ketikanya aktres popular, Rita Rudaini, 39, teringin melakonkan watak ringan berunsur komedi.

Lantas tawaran membintangi filem komedi romantik berjudul Love, Supermoon terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) tidak dipersiakan.

“Kali terakhir saya muncul di layar lebar menerusi filem Balistik, tiga tahun lalu. Dalam waktu sama saya juga menjalani penggambaran filem ini.

“Sudah lama saya teringin melakonkan watak santai tapi tak pernah dapat. Apabila ditawarkan membintangi filem ini, saya sangat gembira. Apatah lagi semua pelakon ‘satu kepala’,” katanya.

Membawakan watak Nina, isteri kepada Sulayman lakonan Zain Hamid, penampilan Rita lebih bersahaja. Pendek kata dia bebas menjadi diri sendiri.

“Watak Nina ada persamaan dengan keperibadian sebenar saya iaitu sempoi, kecoh dan tegas.

“Bagi saya, melakonkan watak komedi adalah satu terapi. Kebetulan ketika menjayakan filem ini rumah tangga saya sedang bermasalah. Jadi, sedikit sebanyak ia menghiburkan hati saya,” katanya.

Mengulas gandingannya dengan Nadiya Nisaa dan Anne Ngasri, Rita berkata, mereka cepat serasi biarpun itu kali pertama dipertemukan dalam satu karya.

“Ketika itu boleh dikatakan Nadiya baru lagi dalam bidang ini. Dia sangat baik dan hormat orang. Sepanjang penggambaran jika ada babak bersama, kami bertiga akan duduk sekali.

“Sebelum masuk set, kami akan berlatih dulu. Pengarah, Wan Hasliza mahukan setiap dialog disampaikan dengan laju dan itulah cabaran kami,” katanya.

Menurut Rita lagi, lebih sedekad mencanai bakat sebagai pelakon tidak banyak filem dibintangi.

Bukan kerana terlalu memilih sebaliknya dia jarang mendapat naskhah dan jalan cerita menarik.

“Siapa tak mahu berlakon filem? Setiap kali dapat tawaran, wataknya sama dan jalan cerita pun kurang menarik.

“Kalau drama, saya tak kisah watak sama tetapi jalan cerita kenalah berbeza. Sebab itu saya lebih kerap muncul dalam drama dan telefilem,” katanya.

Jelas Rita selain mendapat kepercayaan stesen TV dan penerbit, sambutan peminat antara pendorong dia sering melakonkan watak berat.

“Saya difahamkan penonton suka jika saya melakonkan watak air mata dan wanita teraniaya. Kata mereka, saya dapat menjiwai karakter sedemikian dengan baik.

“Tak dinafikan nama saya naik dengan watak sebegini tetapi saya mahu bawa watak komedi pula,” katanya.

Beralih kisah peribadi, Rita yang baru-baru ini menang kes tuntutan mutaah ke atas bekas suaminya, Aidil Zafuan mengakui ramai kenalan dan masyarakat tumpang gembira dengan perkhabaran itu.

“Saya tak berhenti menerima kiriman ucapan tahniah. Ada daripada rakan dan ada juga orang yang saya tak kenali. Mereka beri kata-kata semangat.

“Apa saya nak buktikan adalah perjuangan bertahun-tahun turun naik mahkamah. Ini baru satu kes, ada beberapa lagi tuntutan masih dalam perbicaraan,” katanya.

Menerusi tuntutan berkenaan, pihak mahkamah memerintahkan Aidil membayar RM30,000. Namun, sehingga kini Rita belum menerima bayaran itu.

Rita turut memaklumkan sering menerima jemputan berkongsi pengalaman usahanya menuntut hak isteri yang

ditinggalkan.

“Saya belum layak memberi ‘talk’ kepada umum. Ada ramai lagi wanita lebih susah daripada saya. Cuma apa saya boleh buat adalah beri kata-kata semangat dan motivasi,” kata Rita yang menjadi rujukan rakan artis dan ada yang meminta nasihat daripadanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");