Membawang Hari Ini

Zero bina semula rumah keluarga

Pada Jun lalu, rumah milik keluarga kumpulan lawak popular Zero di Kampung Pantai Bahagia Kudat, Sabah, musnah dalam kebakaran hingga mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Disebabkan kejadian itu, ibu serta adik-beradik mereka yang lain berpindah sementara ke Kuala Lumpur dan menyambung persekolahan mereka di sini.

Juara Maharaja Lawak Mega 2014 yang dianggotai tiga beradik Syaiful, 25, Sharif, 23, dan Atu, 21, itu kini bekerja keras untuk membina semula rumah yang musnah itu.

“Apabila dapat bayaran berlakon, mengacara dan berlawak, sebahagiannya kami kumpulkan. Kami akan bina semula rumah itu dengan kos kira-kira RM300,000.

“Di situlah tempat tinggal kami sejak kecil, susah senang kami sekeluarga juga di sana. Tentunya rumah itu menyimpan terlalu banyak kenangan buat kami dan ibu kami memang tidak mahu berpindah dari sana walaupun kami sudah mengajaknya tinggal di Kuala Lumpur bersama kami.

“Ini pun kerana terpaksa, mahulah dia tinggal dengan kami di sini itu pun selepas rumah siap, dia akan segera balik ke Kudat. Sementara kami sibuk dengan kerja di Kuala Lumpur, sepupu kami yang tolong tengok-tengokkan pembinaan rumah itu nanti. Kami perlu berhati-hati kerana sebelum ini kami pernah ditipu,” kata Syaiful.

Menurut Syaiful, ibu mereka Musahpun Andis, 55, enggan berpindah walaupun mereka sudah mengajaknya tinggal bersama di Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai aktiviti seni, tiga beradik ini bersyukur kerana tawaran berlakon sentiasa ada.

Syaiful berkata, selain tawaran untuk Zero, mereka juga mendapat tawaran untuk individu.

“Sama ada tawaran untuk semua anggota Zero ataupun seorang, ia tiada masalah. Apa yang penting kami semua ada kerja dan dapat menyara keluarga. Kadang-kadang jadual kerja kami bertindih menyebabkan saya dan Sharif akan muncul berdua saja. Contohnya sekarang Atu sibuk dengan rakaman sitkom Buana Oh Buana,” katanya.

Selain itu, Atu dan Syaiful juga terbabit dalam program kembara Awak Kat Mana yang diacarakan Nabila Huda. Ia kini ditayangkan di saluran Astro Ria dan Ria HD sejak Ogos lalu.

Terkini, Zero baru saja selesai penggambaran filem Lu Mafia Gua Gangster arahan Adam Haritz. Penggambaran filem terbitan Red Fires Filem Production itu dilakukan di sekitar Johor Bahru antaranya Skudai, Kulai dan Danga Bay.

Aktif bersukan

Biarpun sibuk dengan kerjaya seni, mereka bertiga masih ada masa untuk bersukan iaitu bermain sepak takraw dan futsal.

“Selain untuk kesihatan ia bagus untuk mengurangkan tekanan bekerja,” katanya.

Ahad ini, Syaiful dan Sharif serta rakan pelawak lain seperti Idlam Pon Pon, Faiz Tapaw, Amirreka, Kijat Top, Epy Kodiang dan Pak Yus Jambu akan menyertai Cabaran Myfidele Futsal anjuran Mynic di Ampang, Selangor mulai jam 9 pagi hingga 3 petang.

Pertandingan itu dibahagikan kepada 15 pasukan lelaki, lima pasukan wanita dan satu pasukan lelaki dari Mynic.

Menurut Syaiful, tujuan perlawanan itu bagi memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan kakitangan Mynic dengan pelanggan dan artis yang terbabit.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");