GOPENG: Negara memerlukan sekurang-kurangnya 50,000 tenaga mahir setiap tahun dalam mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Mohammad Amin Zakaria berkata, Kerajaan Negeri Perak menyahut seruan kerajaan untuk tujuan tersebut.
“Oleh itu, semua pihak termasuk di negeri Perak, kita menyahut cabaran itu. Kita menggalakkan pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang kemahiran dapat menceburkan diri.
“Kita juga menggalakkan pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk sama-sama membantu para pelajar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kemahiran dan Keusahawan Malaysia, di RTC Gopeng, petang tadi.
Amin turut berkata, golongan pelajar pada masa kini mempunyai pelbagai kursus yang boleh dipilih.
“Hari ini kita dapat lihat banyak kursus yang disediakan oleh pusat-pusat bertauliah dan terpulang pada minat masing-masing.
“Dengan adanya kemahiran itu, mereka boleh pergi dengan lebih jauh dan mereka boleh jadi usahawan berjaya,” katanya.
Karnival tersebut dianjurkan oleh pusat bertauliah dan pusat kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama daripada pusat bertauliah di negeri Perak.
Tambahnya lagi, tujuan karnival itu diadakan adalah untuk mempromosikan pendidikan kemahiran dan juga vokasional bagi menarik lebih ramai pelajar menceburkan diri dalam bidang yang mereka minati.
“Saya difahamkan, lebih daripada 40 booth disediakan dan mempamerkan hasil daripada kursus-kursus yang mereka tawarkan,” ujarnya.