Jenayah

Ahli Geng Tebu serah diri

LEDANG: Akibat ketakutan selepas gambarnya didedahkan dalam akhbar, salah seorang daripada empat suspek Geng Tebu akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, 26 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, remaja berusia 18 tahun itu berasal dari Kulaijaya, Johor menyerah diri pada jam 3.30 petang dan kini ditahan reman sehingga 15 November.

“Ini adalah kejayaan IPD Ledang selepas dedahkan gambar dua daripada empat suspek pada 4 Ogos lalu. Manakala tiga lagi suspek termasuk seorang yang gambarnya turut didedahkan masih lagi bebas.

“Meskipun remaja itu tidak dapat beri maklumat tiga rakannya kerana dakwanya sudah putus hubungan, namun usaha menjejaki mereka sedang giat dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pada 21 Julai lalu, sebuah video berdurasi kira-kira 1.39 saat yang merakamkan perbuatan suspek memukul pemilik kedai berkenaan berusia lingkungan 60-an menggunakan kayu dan tebu tersebar di internat dan menjadi viral dalam laman sosial serta portal berita.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, sekumpulan empat lelaki terbabit kemudian melarikan diri termasuk membawa bersama pelbagai kad jenis tambah nilai prabayar berjumlah RM1,000, wang tunai dan beberapa botol minuman keras yang dijual di kedai berkenaan.

Mohd Salleh berkata, menurut saksi kejadian, suspek menaiki kereta Perodua Myvi berwarna putih bagaimanapun nombor pendaftaran kenderaan tersebut adalah palsu telah membuatkan usaha memburu mereka sedikit sukar.

“Hasil siasatan lanjut terhadap remaja terbabit mendapati ada satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Johor Bahru tahun ini.

“Suspek juga bebas dadah berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya dan disiasat mengikut Seksyen 395 kanun keseksaan,” katanya.

Katanya, beliau meminta tiga suspek lain mengikut jejak langkah remaja berkenaan untuk menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");