PERTEMBUNGAN Super Clasico antara Argentina dan Brazil untuk saingan kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Monumental, Buenos Aires, semalam, berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Aksi yang diadakan semula berikutan ditunda pada Jumaat lalu akibat padang dibanjiri air turut dicemari dengan beberapa layangan kad kuning serta kad merah diterima pemain pelawat, David Luiz pada penghujung permainan.
Skuad Albiceleste yang belum mencatat kemenangan sepanjang kempen, bermula garang apabila Ezequiel Lavezzi menggegar jaring Brazil di minit ke-34 hasil umpanan cantik Gonzalo Higuain.
Tiada jaringan tambahan sehingga tamat babak pertama. Bersambung 45 separuh masa kedua, perlawanan berlangsung rancak dengan aksi berbalas serang.
Hasilnya, pasukan Samba kendalian Dunga berjaya menyamakan kedudukan menerusi Lucas Lima m-58.
Keputusan itu meletakkan Argentina tiga aksi tanpa kemenangan pada saingan kempen kelayakan Zon Amerika Selatan dengan hanya mengutip dua mata.-sinar harian