Membawang Hari Ini

Alen, Muhsin noktahkan saingan

Mimbar Pencetus Ummah (PU) minggu kelima sekali lagi mengundang kejutan apabila dua peserta, PU Alen dan PU Muhsin tersingkir.

Pengumuman itu dibuat selepas kedua-duanya berada di kedudukan tiga terbawah bersama PU Adek.

Alen dan Muhsin masing-masing memperolehi markah keseluruhan sebanyak 50.06 dan 53.09 peratus.

Alen atau nama sebenarnya Mohd Azhar Ahmad, 33, menyifatkan kekal sehingga minggu kelima sebagai pencapaian terbaik untuknya.

“Setiap minggu saya bersedia andai tersingkir. Tak sangka saya masih dapat meneruskan cabaran sehingga minggu kelima.

“Memandangkan pusingan akhir nanti hanya empat orang saja layak bertanding, jadi saya sudah bersedia jika tersingkir. Akhirnya, tiba giliran saya,” katanya.

Terhentinya langkah Alen di mimbar PU tidak bermakna dia pulang dengan tangan kosong sebaliknya akan mengikut saranan Datuk Ustaz Kazim Elias meneruskan dakwah di tempat kerja lamanya.

“Saya akan balik ke Pulau Pinang dan mengajar kitab di masjid yang dulunya saya jadi bilal.

“Insya-Allah, pengalaman berada di PU akan saya gunakan sebaik-baiknya dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Jika ada tawaran berceramah, saya akan manfaatkan peluang itu,” katanya.

Selain kembali menjadi bilal di Masjid Ar Rahman Batu Ferrighi, Pulau Pinang, Alen juga masih meneruskan perniagaan char kuetiau di kawasan sama.

Sama seperti Alen, Muhsin atau nama sebenarnya Muhsin Ahmad, 27, menjadikan PU sebagai batu loncatan untuknya berdakwah dengan aktif lagi selepas ini.

“Sebelum ini saya sekadar pendakwah bebas dan tak berapa dikenali. Alhamdulillah, sejak menyertai program ini, penerimaan orang sudah berbeza.

“Saya percaya ini rezeki meskipun tidak mara ke pentas akhir. Selama hampir dua bulan saya tidak mengajar, saya kini kembali dengan sedikit ilmu untuk dikongsi bersama,” katanya.

Muhsin memaklumkan dia mengajar ilmu fiqah, hadis dan tafsir di masjid dan surau sekitar Seremban secara sambilan.

Pada malam itu, PU Syed mencipta ‘hatrick’ apabila sekali lagi diumum sebagai PU Pilihan Sinar FM.

Bertemakan filem, tiga kedudukan teratas PU menjadi milik Syed (59.24), Amin (59.20) dan Zaid sebanyak 59 peratus, seterusnya melayakkan mereka mara ke pentas final bersama tiga lagi PU iaitu Taha, Abu dan Adek.

Yakin kemampuan PU

Ditugaskan menjadi guru persembahan, Ogy Ahmad Daud mengakui terperanjat melihat kemampuan semua peserta menyahut cabaran yang diberikan.

“Ini pembabitan pertama saya dalam program PU, jadi saya menerapkan perkara baru dalam gaya penyampaian dakwah mereka. Saya terperanjat apabila mereka boleh terima dan berjaya menyampaikannya dengan baik sekali.

“Setiap minggu tugasan berbeza diberikan dan saya tak mahu halang kreativiti mereka. Saya berikan mereka kebebasan. Alhamdulillah, mereka tak mengecewakan.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan mengajar mereka lebih mudah berbanding mendidik pelakon baru,” katanya.

Menurut Ogy, komitmen dan disiplin setiap peserta kunci kejayaan penyampaian tazkirah walaupun ada yang tersingkir.

“Saya terkejut apabila dua nama tersingkir sekali gus. Sebagai tenaga pengajar saya tak nampak di mana silap dan kurangnya mereka,” katanya.

Menerapkan 50 peratus elemen persembahan dalam setiap tugasan diberikan, Ogy tidak menganggap perkara itu salah sehingga menimbulkan kritikan masyarakat.

“Saya menerima banyak maklum balas rakan artis mengatakan teknik lakonan yang diterapkan dalam setiap penyampaian lebih cepat difahami.

“Bagaimanapun, saya hairan apabila ada segelintir pihak sukar terima perkara itu. Bagi saya, selagi apa yang disampaikan dan dipersembahkan itu tak melanggar hukum syarak, ia tak salah,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");