Isu Panas

Amanah bukan pembangkang kepada Azmin

SHAH ALAM – Pemuda Amanah Selangor menyifatkan kenyataan dikeluarkan Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin yang mengkritik pendekatan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkeras mahu memujuk Pas menyertai Pakatan Harapan sekadar pendapat peribadi.

Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi berkata, kenyataan Naib Ketua Pemuda Amanah itu tidak mewakili suara majoriti Pemuda Amanah Selangor.

“Saya selaku Ketua Pemuda Amanah Selangor menganggap itu kenyataan peribadi Naib Pemuda dan tidak mewakili Pemuda Amanah Selangor, ia pandangan peribadi beliau.

“Pendirian kita (Amanah) jelas bahawa sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri Amanah mengiktiraf Azmin selaku menteri besar dan akan bekerja dalam satu pasukan. Kita bukan pembangkang kepada Azmin,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Abbas menegaskan tegur-menegur dalam pentadbiran itu perkara biasa namun Amanah tidak akan membangkang menteri besar.

“Ini kenyataan rasmi Pemuda Amanah, kita tidak mahu menteri besar berseorangan..kita mesti bantu beliau dalam satu pasukan.

“Kita akan terus berbincang dengan Pas untuk membentuk Pakatan Harapan di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Shazni Munir meminta Azmin supaya berpijak pada realiti semasa di Selangor dan tidak mengelak daripada membincangkan format baharu gagasan politik.

Beliau mendakwa Azmin mengambil pendekatan eskapisme yang hanya akan menyebabkan orang ramai sangsi pada ketulusan politiknya malah Shazni meminta Azmin meramaikan kawan bukannya musuh.

Mengulas isu Amanah mengacau Pas, Abbas menjelaskan bahawa parti itu tidak pernah berhasrat menggantikan Pas sebaliknya menjadi parti Islam kedua selepas Pas.

“Kita bukan mahu menggantikan Pas, Amanah hanya parti Islam kedua selepas Pas.

“Pendekatan kami dan Pas berbeza daripada segi perlembagaan. Amanah di Selangor tidak ada masalah dengan Pas tapi usik-mengusik itu biasalah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya Amanah mengharapkan Pas mengiktiraf kewujudan parti baharu itu memandangkan dua Adun mereka berada dalam kerajaan negeri.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");