Isu Panas

Azan nafi bidas Adun Pas

KUALA TERENGGANU – Adun Bandar, Azan Ismail menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Adun-Adun Pas tidak bekerja ketika memberi ucapan terbuka dalam ceramahnya di Wakaf Dua, Marang baru-baru ini.

Mengulas dakwaan Ketua Penerangan Pas Kawasan Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang menggambarkan bahawa beliau seolah-olah bersikap berkata demikian terhadap Adun-Adun Pas, Azan percaya ia ekoran ucapan beliau yang membangkitkan mengenai isu dalam sidang Dun yang tidak diambil peranan oleh Adun-Adun Pas.

“Saya tidak kata ahli-ahli Pas tidak membuat kerja. Saya kata ucapan dalam dewan itu tidak dibuat atau tidak disambut oleh rakan-rakan kita di pihak Pas. Itu sahaja, mungkin mereka ada alasan mereka sendiri. Saya pun tidak tahu,” katanya kepada pemberita, di sini.

Dalam ucapan terbabit, beliau membangkitkan semula kepada rakyat mengenai pihak kerajaan yang membawa usul berhubung enakmen tanah pegangan orang Melayu atau tanah rizab Melayu untuk meminda undang-undang tanah tersebut.

Bagaimanapun Azan memberitahu ketika usul itu dibangkitkan, tiada wakil Pas bangun untuk membahas atau memberi reaksi dalam sidang Dun tersebut, sebaliknya hanya beliau yang mengulas mengenai perkara itu.

“Akibatnya enakmen itu telah pun diluluskan tanpa apa-apa pindaan. Itu saya cuma menyuarakan rasa terkilan saya. Sepatutnya kita berpakat 14 orang campur saya 15 orang dalam sidang Dun bersama-sama menunjukkan pasukan yang kuat sekurang-kurangnya kita berhujah memberi pandangan dan kita beri peringatan supaya tidak diperlakukan begitu undang-undang berkenaan tanah orang Melayu dan pegangan orang Melayu tetapi benda itu tidak berlaku.

“Apakah salah saya menyuarakan perkara itu. Saya tidak menyentuh langsung wakil rakyat (Pas) tidak buat kerja. Apa hak saya mengata demikian?” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memberitahu bahawa Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat itu sebelum ini juga dilihat pernah mengkritik beliau secara terbuka melalui laman sosial, namun tindakan pemimpin Pas itu tidak pernah dipersoal atau dilayan.

Sehubungan itu, Azan menasihatkan Ahmad Amzad tidak terlalu emosi berhubung ucapan beliau itu, sambil memberitahu berkemungkinan perkara-perkara seperti itu akan berlaku dalam sidang Dun yang sudah tentu memerlukan kerjasama daripada semua Adun pembangkang.

Beliau turut berharap Amzad lebih matang dalam memberikan pandangan terutama merangka perkataan untuk tatapan umum di samping memainkan peranan lebih baik sebagai pengarah penerangan memandangkan pembangkang mempunyai matlamat besar pada PRU14.

“Saya berharap Haji Amzad main peranan sebagai pengarah penerangan segera menasihatkan rakan-rakan kita semua ini supaya memperbanyakkan perbincangan dalam PR atau Pakatan Harapan.

“Kita semua pembangkang, Amanah pembangkang, Pas pembangkang, DAP pembangkang. Dalam pembangkang ada satu keluarga yang besar, kenapa kita hendak kecilkan lagi saiz pembangkang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");