Isu Panas

Azmin selesai isu rebut kerusi di Sarawak?

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dijangka bakal berbincang dengan Pas dalam mencari penyelesaian terhadap isu pembahagian kerusi untuk pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11 yang dijangka diadakan tahun depan.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata demikian kepada Sinar Online ketika diminta mengulas soal perebutan kerusi di Sarawak antara DAP dengan Pas.

“Memang betul, saya akui bahawa sebelum ini banyak pengumuman di sana dan di sini tapi saya rasa perkara itu akan dapat diselesaikan tepat pada masanya sebelum pilihan raya nanti. Sasarannya begitulah.

“Yang itu (pembahagian kerusi Pas) saya rasa YB Azmin akan bantu berurusan dengan Pas supaya kita juga capai persefahaman di peringkat Negeri Sarawak,” katanya.

Bulan lalu, Pas menegaskan, pihaknya akan tetap meletakkan calon di 10 kerusi daripada 82 kerusi dalam PRN akan datang selepas bertanding hanya lima kerusi dalam PRN yang lalu.

Menurut Rafizi, melalui mesyuarat Pakatan Harapan yang terbaharu, mereka telah memutuskan supaya mesyuarat di peringkat Pakatan Harapan Sarawak dimulakan secara tersusun.

Dalam pilihan raya negeri 2011 lalu, PKR hanya menang dua kerusi.

Sebelum ini, Pas pernah menyuarakan agar Parti Amanah Negara (Amanah) tidak ‘mengganggu’ kerusi-kerusi yang bakal ditandingi Pas di Sarawak nanti.

Sementara Amanah dilaporkan bersedia bertanding melawan Pas dalam PRN itu kelak dengan mensasarkan sekurang-kurangnya kemenangan satu kerusi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");