Sukan Hari Ini

BAM teliti calon sebelum umum

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen masih lagi berteka-teki mengenai calon jurulatih perseorangan lelaki baru bagi membantu Hendrawan dan Tey Seu Bock.

Menurutnya, senarai pendek calon berkenaan tidak boleh didedahkan, tetapi berharap semuanya akan selesai hujung tahun ini sebelum musim 2016 bermula.

“Dalam senarai berkenaan memang ada calon jurulatih tempatan dan juga luar negara. Bagaimanapun, kita harus melihat dari pelbagai sudut (sebelum membuat keputusan),” katanya.

Jelasnya, pencarian dan pengambilan untuk penambahan jurulatih perseorangan lelaki negara itu diharap mampu berakhir sehingga hujung tahun ini namun beliau masih lagi mengambil sikap berahsia untuk mengumumkan calon berkenaan.

Ditanya mengenai pandangan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei mahu BAM mendapatkan khidmat jurulatih luar negara terutama dari China dan Indonesia, Frost berkata perkara berkenaan tidak dibincangkan lagi.

“Saya tidak berbincang lagi dengan Chong Wei mengenai cadangannya itu. Bagaimanapun, saya mempunyai pilihan saya sendiri dan ia bukan satu konflik,” kata bekas pemain perseorangan Denmark itu.

Semalam pada majlis berasingan Chong Wei mahu mengesyorkan beberapa calon jurulatih luar negara kepada BAM dan berharap perkara berkenaan boleh diselesaikan sehingga hujung tahun ini kerana perancangan untuk musim baru akan bermula Januari 2016.

Chong Wei mengakui tiada jurulatih tempatan yang sesuai untuk penambahan pengendali perseorangan lelaki dan pada masa sama dia mahu kedua-dua Hendrawan serta Seu Bock sentiasa menemaninya bermula tahun depan.

Dalam pada itu, Frost mengakui persembahan Chong Wei setakat ini sangat menakjubkan kerana bukan saja muncul juara di Siri Super Perdana Terbuka China dan Terbuka Hong Kong tetapi tiga kali berturut-turut bermula dari Terbuka Perancis.

“Saya yakin semua orang bersetuju dengan saya mengenai prestasi Chong Wei, ia sangat positif menjelang aksi pada masa akan datang. Secara tidak langsung ia menyokong pandangan saya sebelum ini sejak hari pertama memulakan tugasan di BAM, di mana saya yakin dengan kemampuannya.

“Dia juga berjaya memperbaiki ranking dunia dan sekarang sudah berada antara empat terbaik dunia,” kata Frost.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");