Membawang Hari Ini

Berhibur sambil beramal

KESENGSARAAN dan keperitan hidup yang dihadapi masyarakat Syria akibat peperangan bagaikan tiada penghujungnya.

Kehilangan sumber rezeki menyebabkan mereka hidup merempat, kebuluran dan lebih teruk lagi, menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Sehubungan itu, Syria Care Malaysia bakal mengadakan dua acara amal iaitu persembahan Eyes2Heart di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya dan Karnival Damai di beberapa lokasi terpilih.

Menariknya, kedua-dua acara ini turut membabitkan golongan selebriti bagi menarik kedatangan pengunjung.

Persembahan Eyes2Heart yang akan berlangsung pada 7 November ini akan melibatkan tiga artis iaitu Hafiz Hamidun, Faizal Tahir dan kumpulan Brothers.

Bagi Karnival Damai pula, ia akan bermula di Melaka pada 20 hingga 22 November ini, diikuti tujuh lagi lokasi utama iaitu Ipoh, Kedah, Johor Bahru, Kuantan, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Karnival Damai yang mendapat kerjasama daripada Paluan Seni Entertainment akan melibatkan penyertaan artis seperti UNIC, AfterShock Malaysia, Wanns Ahmad, Penta Voice dan The Won.

Pengurus Besar Syria Care Malaysia, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pihaknya mengambil masa selama dua bulan bagi merancang dua acara besar itu.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Menerusi Eyes2Heart, kami mendapat kerjasama yang baik daripada syarikat milik Hafiz Hamidun iaitu Arteffects International Sdn Bhd, pemilihan artis juga didorong melakukan persembahan berkualiti.

“Insya-ALLAH, persembahan setiap artis yang terlibat akan dibawa melalui pendekatan ‘menyanyi sambil bercerita’ mengenai bencana kemanusiaan dialami oleh masyarakat Syria dan bakal menyentuh emosi setiap pengunjung yang hadir,” katanya.

Tambahnya, menerusi Karnival Damai, pihaknya menyelitkan pelbagai program antaranya forum keagamaan, persembahan hiburan oleh barisan selebriti tempatan, pameran kesenian Islam dan jualan amal.

“Saya menyeru kepada orang ramai supaya dapat meringankan beban dan kesengsaraan masyarakat Syria.

“Oleh kerana itu, kami menyasarkan kutipan dana sekitar RM100,000 hingga RM200,000 melalui dua acara ini,” katanya.

Dasar kemanusiaan

Penyanyi dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun menyifatkan penglibatan syarikatnya dalam persembahan Eyes2Heart adalah atas dasar kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan rakyat di bumi Islam itu.

“Ada atau tidak acara persembahan ini pun, bantuan tetap akan disalurkan kepada rakyat Syria. Macam diri sendiri nak beri wang tapi tak ada banyak, jadi melalui cara bantuan sebeginilah kita dapat membantu apa yang adanya.

“Kami berharap ia mendapat tumpuan menerusi kerjasama Pesta Buku Islam Antarabangsa yang akan diadakan pada tarikh sama.

“Malah, saya dapat makluman tempat duduk menonton pertunjukan ini hanya 600 saja. Jadi ia memang terbatas dan cepatlah beli tiket. Sambil kita berhibur, pada masa yang sama dapat beramal sepanjang berlangsungnya acara 90 minit ini,” katanya.

Penyampai berita, Amin Idris sudah mengesahkan akan menjadi ‘tukang cerita’ utama pada acara itu.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai persembahan Eyes2Heart dan Karnival Damai ini boleh melayari www.syriacare.org.my. Mereka yang ingin menderma atau memberi barangan keperluan boleh hubungi 011-37030900, 03-55234077.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");