Jenayah

Bersyukur ahli keluarga selamat

BACHOK – Sebaik sahaja menerima panggilan telefon yang memaklumkan mengenai kebakaran rumah pusaka berusia 40 tahun pada kira-kira jam 4 petang, Selasa lalu, perkara pertama terlintas dalam fikiran adalah mengenai keselamatan dua anaknya di rumah.

Namun Siti Hasni Abdullah, 35, bersyukur apabila mengetahui Nur Aisya Asyikin Mohd Zaizudin, 13, dan adiknya Nur Syafiqah Izzati, 8, terselamat kerana tidak berada dalam rumah berkenaan ketika ia musnah dalam kebakaran.

Menurutnya, Nur Aisya Asyikin berada di rumah rakannya berdekatan lokasi kejadian ketika itu, manakala Nur Syafiqah Izzati pula sedang bermain basikal di sekitar kediaman mereka.

“Saya sedang bekerja di sebuah kedai dobi ketika kebakaran berlaku dan hanya mengetahui mengenai kejadian pada jam 4.15 petang selepas dihubungi oleh adik ipar, Mohd Soleh yang ketika itu bekerja bersama-sama suami, Mohd Zaizudin Muhammad, 39, di Kubang Telaga.

“Anak sulung kami, Mohd Syafiq Ikmal Daniel, 18, juga berada bersama suami dan adik ipar saya ketika itu. Mereka dapat tahu mengenai kejadian ketika anak kedua kami, Nur Aisya, menelefon ayahnya. Semasa saya balik, rumah sudah hangus sepenuhnya,” katanya.

Mungkin akibat litar pintas

Siti Hasni berkata, dia dimaklumkan oleh jiran-jirannya bahawa api bermula dari bahagian ruang tamu rumah pusaka tersebut dan mungkin berpunca daripada litar pintas.

Dia masih kelihatan sugul mengenangkan kejadian yang memusnahkan kediaman mereka sekeluarga, namun tetap bersyukur apabila kesemua ahli keluarganya terselamat kerana tidak berada dalam rumah ketika kejadian.

Sementara itu, saksi kejadian, Ibarahim Ismail, 64, memberitahu, dia sedang berehat di rumahnya bersebelahan Balai Polis Gunong ketika kejadian dan terdengar bunyi letupan kuat dari arah belakang balai polis.

“Selepas terdengar letupan kuat saya nampak asap berkepul di udara dan saya terus masuk ke kampung untuk lihat apa yang berlaku. Masa saya sampai, api tengah marak membakar rumah itu dan terdapat letupan, mungkin dari cermin tingkap yang pecah akibat haba api terlalu panas,” katanya, semalam.

Anggaran rugi RM50,000

Siti Hasni menganggarkan kerugian dialami keluarganya akibat kebakaran itu sekitar RM50,000 melibatkan peralatan elektrik, perabot serta sebuah motosikal yang tidak dapat diselamatkan dan dia sekeluarga kini menumpang di rumah saudara berdekatan kawasan tersebut untuk sementara waktu.

Katanya, dia merancang untuk menyiapkan rumah sendiri, bersebelahan rumah pusaka itu yang telah dibina sejak lima tahun lalu, namun tergendala dan ahli keluarga meminta mereka tinggal di rumah pusaka berkenaan terlebih dahulu.

“Bila dah jadi macam ini, kami harap dapat teruskan pembinaan rumah yang tergendala, Penyelaras Parlimen Bachok, Datuk Dr Ilias Husain ada datang dan memaklumkan akan berusaha untuk mempercepatkan ban-tuan bagi pembinaan rumah berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II Ruslan Ismail memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 4.11 petang dan beliau sendiri telah mengetuai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok ke lokasi kejadian.

“Ketika kami tiba di lokasi kebakaran pada jam 4.27 petang, rumah berkenaan sudah 90 peratus musnah. Api berjaya dikawal dalam masa 14 minit dan operasi ditamatkan pada jam 5.11 petang. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumbangan pelbagai pihak

Sehari selepas kejadian, beberapa agensi kerajaan turun padang menghulurkan sumbangan kepada keluarga tersebut termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Penjabat Penerangan Daerah Bachok.

Pegawai Penerangan Daerah Bachok, Wan Mohd Zuki Wan Ismail memberitahu, sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan ke atas musibah menimpa keluarga berkenaan sambil berharap mereka bersabar.

“Saya yakin kebajikan keluarga mangsa akan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan,” katanya yang turut ditemani Penyelaras Dun Jelawat, Mohd Radzuan Hamat.

Turut menziarahi keluarga berkenaan adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Perantau Bachok diwakili setiausahanya, Nasrul Mohamed dan Mohd Nazri Ismail, menyampaikan sumbangan seperti tilam, bantal dan barang keperluan harian.

Dana untuk sumbangan disampaikan Perantau Bachok adalah melalui Tabung Prihatin Perantau Bachok termasuk derma daripada penyumbang tetap, NDZ Teluk Enterprise.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");