Berita Hari Ini

Colour of Homestay sasar 15,000 pengunjung

IPOH – Perak Colour of Homestay 2015 yang akan diadakan selama tiga hari mulai 4 hingga 6 Disember ini di Bagan Datoh menyasarkan 15,000 pengunjung memeriahkan program julung kali diadakan itu.

Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Perak, Mohd Hizaz Mohd Ibrahim berkata, sejumlah 58 pengusaha inap desa di Bagan Datoh akan menyertai program tersebut dengan menyediakan penginapan buat peserta pertandingan, artis dan mereka yang terlibat sepanjang aktiviti di situ.

Menurutnya, pemilihan Bagan Datoh sebagai lokasi program adalah untuk mengetengahkan inap desa kepada pelancong dari dalam dan luar negara yang mahukan suasana kampung sebenar selain membawa pengunjung ke daerah paling hujung di negeri ini.

“Selain mempromosi inap desa, kita juga ingin membawa pelbagai program sampingan kepada penduduk pelbagai peringkat antaranya, Malam Cinta Rasul, konsert dan kebudayaan, Maskot Super Squad, Soopa Doopa untuk kanak-kanak, kenduri rakyat dan auto show.

“Aktiviti berbentuk pertandingan juga diadakan termasuk Tresure Hunt berbasikal dan Colour Run. Peserta Colour Run akan berlari sejauh 2.5 kilometer yang mana sepanjang larian itu mereka akan disembur dengan pelbagai warna,” katanya.

Mohd Hizaz berkata, dengan adanya program ini, pengusaha akan menjaga kualiti dan memastikan inap desa masing-masing berada dalam keadaan baik, bersih serta selesa didiami pengunjung.

“Mereka juga terlibat dengan mempamerkan produk inap desa termasuk produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan serta produk satu daerah satu industri (SDSI),” katanya.

Katanya, pihaknya berbangga kerana dapat mengadakan program tersebut di Bagan Datoh yang juga kawasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini adalah penghargaan kepada beliau kerana telah dilantik untuk jawatan kedua tertinggi dalam negara,” katanya.

Selain Perak Colour of Homestay, jeti Bagan Datoh turut menjadi lokasi untuk program Karnival Sukan Air Bagan Datoh yang akan diadakan pada tarikh sama bagi memeriahkan lagi program penutup Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Perak pada tahun ini.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");