SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban semalam, membenarkan seorang bekas kakitangan pengurusan sebuah hotel dan rakannya dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang atas tuduhan menetak isterinya pada awal Oktober lalu.
Pada sebutan pertama 6 Oktober lalu, K Saravanan, 26, bersama rakannya, Ahamad Mohd Latif, 23, yang bekerja sebagai buruh, mengaku bersalah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Semalam, mereka yang diwakili peguam, Paul Krishnaraja merayu supaya mahkamah membenarkan jaminan.
Hakim Fatiyah Idris yang membenarkan ikat jamin itu bagaimanapun mengenakan syarat iaitu mereka dilarang mendekati mangsa dan kediaman mangsa.
Mereka juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran dengan tempat tinggal mereka pada setiap Selasa dan jika gagal berbuat demikian ia boleh menyebabkan jaminan dibatalkan.
Malah, jaminan itu juga boleh terbatal jika mangsa ada membuat laporan polis atau aduan kepada mana-mana pihak bahawa dirinya diganggu tertuduh.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa mencederakan D Megala, 24, menggunakan parang pada 1 Oktober lalu, jam 6.40 petang di Taman PD Utama, Port Dickson.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta laporan perubatan mangsa.
-Sinar Harian