EAST Coast Surfers (ESC) dan Gomo Warriors meneruskan kebangkitan mereka dalam memburu saingan di peringkat separuh akhir apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing pada aksi Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2015 di Sports Arena, Petaling Jaya, semalam.
Tewas dua perlawanan sebelum ini, ECS mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali gus bermakna debaran penentuan empat pasukan terbaik yang akan berentap di separuh akhir akan berterusan sehingga ke minggu terakhir aksi peringkat kumpulan pada 21 dan 22 November depan.
Bagi Jurulatih ECS, Ahmad Mohd Zin, kejayaan dimiliki kali ini amat berguna untuk meneruskan saingan dalam kejohanan ini.
“Kita bermula perlahan, mungkin pemain lambat panas tetapi kini kami kembali dalam persaingan. Ia kemenangan yang cukup penting. Minggu terakhir liga akan menentukan sama ada kita berjaya atau tidak ke separuh akhir.
“Masih banyak perlu diperbaiki ketika bertahan atau ketika melakukan servis, kita sedar baki dua perlawanan adalah lawan yang terkuat di STL ini dan kita perlu untuk bekerja lebih keras,” katanya.
Dua lawan yang menanti ECS selepas ini adalah pendahulu kumpulan, Black Panthers dan pasukan tangga ketiga, Kuala Lumpur City Flyers.
Sebuah lagi pasukan dari pantai timur, Gomo Warriors turut menghidupkan peluang beraksi di separuh akhir, apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Northern Rangers.
Tewas tiga perlawanan pembukaan, Gomo Warriors mencatat kemenangan pertama dengan mengejutkan City Flyers dua minggu lalu.
Baki dua perlawanan yang akan diharungi Gomo Warriors adalah menentang Southern Tigris yang mempunyai peluang sama rata dengan mereka untuk ke separuh akhir, serta Green Titans yang ketika ini menghuni tangga tercorot.-sinar harian