Jenayah

Empat jambatan berisiko runtuh

KUANG: Empat jambatan di sini terjejas akibat rekahan tebing selepas dirempuh arus deras ketika insiden banjir kilat sini Jumaat lalu.

Empat jambatan itu adalah di lorong Attap- Kampung Cempedak, dua di Kampung Gombak iaitu lorong Dato Abu Bakar dan Imam Omar serta lorong Serai 14.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuang, Salasiah Disa berkata, laluan tersebut masih boleh digunakan untuk kenderaan ringan kerana dikhuatiri struktur jambatan tidak kukuh lagi.

Menurutnya, beberapa tebing sungai turut alami runtuhan akibat arus deras dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

“Tindakan segera telah diambil untuk penyelesaian jangka masa pendek termasuk kerja pembersihan mendalam dan melebar laluan air utama itu.

“Sementara projek penyelesaian jangka panjang adalah bergantung kepada peruntukan tahun depan,” katanya mengulas lawatan turun padang meninjau kesan banjir kilat di beberapa lokasi.

Kata Salasiah, status banjir kilat kali keempat itu akan dipanjangkan dalam mesyuarat tindakan daerah melibatkan semua agensi bagi mengurangkan kesan banjir kilat ketika musim hujan.

“Harap penduduk dapat bersabar dengan insiden itu dan kita sedang dalam usaha menyelesaikan perkara itu.

“Keluarga yang terjejas dengan insiden dinasihatkan tampil untuk tujuan rekod dan memanjangkannya kepada bahagian bencana daerah bagi penyaluran sagu hati.

“Punca awal banjir kilat dikesan adalah saiz sungai yang kecil dan cetek serta terdapat aktiviti longgokan sampah haram berdekatan dengannya yang turut menyumbang kepada perkara itu,” katanya.

Jumaat lalu sekitar jam 6 petang beberapa kawasan dilanda banjir kilat termasuklah di Bandar Baru Kundang, kampung Bunga Raya dan Kampung Kundang antara yang terburuk apabila air mencecah paras pinggang dan surut keseluruhan sekitar jam 7 pagi berikutnya.

Langkah awal membuat laluan air berhampiran taman perumahan di Bandar Baru Kundang beberapa hari sebelumnya masih gagal menampung limpahan air dari sungai Kundang dan Kuang serta longkang monsun dari Bandar Tasik Puteri.

Penduduk terjejas dalam laporan sebelum ini meminta supaya kerajaan negeri dapat mengikhtiarkan sesuatu bagi membantu rakyat kawasan itu menyelesaikan banjir kilat yang dihadapi sejak 1999 lagi dan semakin buruk kebelakangan ini.

Banjir kilat Jumaat lalu adalah kali keempat dalam bulan ini.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");