Berita Hari Ini

Ganda usaha bantu mangsa banjir

TASEK BAKONG – Pemimpin Umno dan BN di Rantau Panjang diminta melipat gandakan usaha membantu rakyat ketika banjir melanda kerana mereka mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, merangkap Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, golongan pemimpin adalah orang terawal akan mendapat maklumat sekiranya berlaku sebarang bencana.

“Oleh itu Umno Kelantan minta pemimpin Umno di Rantau Panjang lipat ganda usaha bantu mangsa banjir. Mereka ada jentera sendiri, anggota sukarela dan pasukan pelapis sepanjang musim banjir serta kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Kunci Rumah Bina Semula akibat kebakaran, di Kampung Tasek Bakong, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof, Pengarah JBPM Kelantan, Azmi Osman dan Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan memaklumkan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengalu-alukan sebarang cadangan atau usaha bagi mengelakkan berlaku banjir kilat dan limpahan air sungai ke kawasan kediaman penduduk di Rantau Panjang.

Menurutnya, cadangan itu akan dibawa kepada KKLW untuk menangani masalah dihadapi penduduk setiap kali tiba musim tengkujuh.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Jazlan turut menyampaikan kunci rumah kepada mangsa kebakaran di Tumpat, sumbangan anggota bomba sakit dan waris anggota bomba meninggal dunia.

Penerima rumah bantuan, Mohamad Abdul Halim Mat Yaacob, 32, menyifatkan rumah berkenaan sebagai rezeki anak keduanya yang akan dilahirkan pada pertengahan bulan depan.

Mohamad Abdul Halim berkata, walaupun jiwanya masih perit apabila mengenangkan arwah ibunya, May Kalsom Daud yang meninggal dunia dalam kebakaran pada Mac tahun lalu, namun dia dan isteri terus menguatkan semangat untuk menempuh hari-hari mendatang.

Mohamad Abdul Halim merupakan salah seorang penerima bantuan rumah baharu bernilai RM40,000 dilengkapi perabot yang dibina oleh anggota bomba di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");