Berita Hari Ini

Harga kenderaan di Malaysia berjaya dikurangkan 17.9%

KUALA LUMPUR – Harga kenderaan di Malaysia berjaya dikurangkan sebanyak 17.9 peratus setakat Oktober 2015, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kerajaan akan terus komited untuk menurunkan harga kenderaan, berdasarkan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas.

“BN telah berjanji untuk terus berusaha mengurangkan harga kenderaan antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun, dan hanya dalam masa dua tahun, kita telah berjaya mencapai penurunan purata sebanyak 17.9 peratus,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan terdapat beberapa syarikat automotif yang menghadapi tekanan akibat penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika dan mungkin terpaksa mengkaji semula harga kenderaan mereka pada tahun depan.

Dalam isu berkaitan, Mustapa berkata, jika Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ditandatangani, duti kenderaan import yang dipasang sepenuhnya (CBU) dari Amerika Syarikat akan diturunkan kepada sifar peratus.

“Dalam tempoh 12 tahun, duti import kenderaan dari AS yang berada pada tahap 30 peratus akan dikurangkan secara beransur-ansur sehingga kepada sifar peratus.

“Selain itu, Jepun dan Australia, menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dibuat sebelum perjanjian TPP, akan dibenarkan masuk tanpa duti import bermula 1 Januari tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Mustapa juga yakin jika perjanjian TPP ditandatangani, syarikat kereta tempatan, Proton, akan terus berdaya saing dan mengubah unjuran perniagaan mereka sekaligus menghasilkan produk pada harga yang lebih kompetitif.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");