Membawang Hari Ini

Hati Syameel tersentuh

Tersentuh hati finalis Akademi Fantasia 2015 (AF2015) Syameel, 22, apabila seorang warga emas yang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda sanggup datang menyaksikan persembahannya di Johor Bahru, baru-baru ini.

Syameel tambah terharu ketika dia pergi berjumpanya selepas konsert, wanita itu mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Sepatutnya saya yang mengucapkan terima kasih tetapi terbalik pula kerana mak cik itu terlalu gembira dapat berjumpa saya dan menonton persembahan saya secara langsung.

“Katanya, setiap minggu dia menonton saya dalam AF2015. Situasi seperti itulah yang mendorong saya untuk melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan peminat.

“Apatah lagi masa depan peserta AF bergantung kepada undian peminat dan pastinya saya akan sentiasa ingat sokongan mereka selama sembilan minggu bertarung di pentas AF2015,” katanya.

Menceritakan kenangannya di pentas final AF2015 lalu, Syameel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly berkata, seminggu sebelum malam final dia kurang sihat akibat jadual agak padat.

“Waktu itu ada penggambaran muzik video dan latihan menyebabkan saya tidak cukup tidur dan pada waktu sama saya banyak mengambil minuman berais. Belum ada pengalaman, manalah saya tahu mengenai pantang larang dalam menjaga kesihatan terutamanya suara.

“Pada malam final itu, tekak saya terasa perit dan kering, namun saya cuba juga memberikan persembahan terbaik. Pada masa sama, saya bimbang tidak dapat meneruskan nyanyian hingga habis.

“Saya memang tidak puas hati dengan persembahan saya pada malam itu. Pun begitu, saya tetap bersyukur kerana menang tempat kedua. Sekarang saya banyakkan mengambil air suam,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupan dulu dan sekarang pula, jelas pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan ini, dia rasa dihargai apabila kehadirannya dalam industri hiburan tanah air diterima ramai.

“Ke mana pergi orang kenal, namun saya tidak pernah riyak kerana mereka inilah yang mengundi saya dan bersama-sama menyumbang kepada kejayaan saya. Tentunya saya tak akan melupakan jasa mereka sampai bila-bila.

“Apa yang dapat saya balas balik kepada mereka dengan memberikan karya terbaik. Kejayaan lagu Hidup Dalam Mati turut memberi kesan untuk karya saya yang akan datang bagi memastikan lagu baru dapat mengatasi single pertama itu ataupun berada sebaris dengannya,” katanya.

Tak kecewa

Syameel juga tidak kecewa juara AF2015 menjadi milik penyanyi Singapura, Sufi walaupun ada yang menyifatkan Syameel lebih layak bergelar juara.

“Saya ada juga dengar orang kata begitu, tetapi semuanya rezeki masing-masing.

“Ketika terpilih ke AF2015, ada beberapa sasaran yang saya tetapkan. Pada minggu pertama beraksi di pentas konsert, saya berharap tidak akan tersingkir dan dapat melangkah ke minggu seterusya. Apabila kekal sehingga minggu kelima, saya berazam pula untuk terpilih ke final.

“Terkandas pada minggu kelapan memberi tamparan kepada saya, namun bersyukur akhirnya berjaya ke final. Apabila diumumkan tempat kedua, Alhamdulillah, itulah rezeki saya,” katanya.

Bangga Hidup Dalam Mati dapat sambutan

Syameel juga amat bertuah apabila lagu dan lirik ciptaannya, Hidup Dalam Mati dipersetujui Pengetua AF2015, Edry Abdul Halim untuk dinyanyikan pada malam final itu.

“Itulah lagu pertama ciptaan saya kerana sebaik saja selesai aktiviti yang disediakan pihak produksi, banyak masa terluang. Lantas saya mengisi masa lapang dengan mencipta lagu itu. Ia menceritakan kisah rakan saya yang ramai putus cinta termasuklah cinta monyet zaman persekolahan dulu.

“Edry juga meyakinkan saya lagu itu akan kerap diputarkan di stesen radio dan ia adalah pencapaian peribadi yang membanggakan saya. Lagu itu sudah dimainkan di radio Era fm, Hot FM dan beberapa stesen radio lain.

“Apabila Hidup Dalam Mati sudah diterima ramai, saya akan muncul dengan single kedua dan kali ini saya mahu bekerja dengan komposer disegani ramai seperti Datuk M Nasir, Ajai dan semestinya Edry. Saya perlu cuba menyanyikan lagu komposer lain supaya gaya nyanyian saya lebih versatil,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");