Sukan Hari Ini

Hendrawan: Tak perlu bimbang!

JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan menasihati semua pihak supaya tidak bimbang mengenai perancangan yang akan diatur untuk jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei musim depan.

Katanya, beliau sebagai jurulatih ada perancangan terbaik untuk Chong Wei yang ketika ini sedang mempersiapkan diri menjelang Sukan Olimpik Rio de Janeiro tahun depan.

“Saya tahu apa yang saya akan buat, apa yang pasti kita akan membuat persiapan terbaik untuk Chong Wei sebelum dia ke Olimpik,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan beberapa pihak yang berpendapat jaguh badminton negara itu perlu berehat dan hanya memilih kejohanan tertentu untuk disertai musim depan.

Malah ada yang menasihati Chong Wei untuk mencapai kemuncak prestasi tepat pada waktunya.

“Takkan kita hendak fikir macam itu. Kalau Chong Wei kalah, kita kecam dia. Kalau menang, kita kata pula Chong Wei mencapai kemuncak terlalu awal,” katanya.

Pemain perseorangan lelaki utama negara itu meraih tiga kejayaan pada penampilannya di Super Siri – Terbuka Perancis, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong.

Malah kejayaan Chong Wei lebih manis apabila menewaskan dua musuh tradisinya dari China, Lin Dan dan Chen Long pada Terbuka China.

Pemain berusia 33 tahun itu melonjak ke ranking ketiga dunia dari kedudukan keenam selepas muncul juara Terbuka Hong Kong.

Tetap jalani latihan rutin

Hendrawan berkata, meskipun Chong Wei tidak akan menyertai sebarang kejohanan hingga hujung tahun ini namun itu tidak bermakna beliau boleh duduk diam.

Ini kerana katanya, Chong Wei tetap perlu meneruskan rutin menjalani latihan setiap hari termasuk menyertai beberapa perlawanan bagi memastikan beliau terus kekal konsisten

“Tidak dinafikan Chong Wei perlu berehat kerana dia bukan pemain muda, tapi kita kena ingat tanpa sebarang kejohanan antarabangsa mungkin akan menjejaskan rentaknya.

“Mahu atau tidak, dia perlu turun menjalani latihan dan terbabit dengan beberapa perlawanan,” katanya.

Nasihat Hendrawan, semua pihak tidak perlu bimbang mengenai tahap kecergasan Chong Wei kerana beliau akan mengadakan perbincangan bersama sebagai persediaan untuk kejohanan tahun depan.

Chong Wei kemungkinan akan mula turun ke gelanggang seawal Januari untuk beraksi di Pulau Pinang pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia.

Selain beraksi di GP Emas Terbuka Malaysia dari 19 hingga 24 Januari, Chong Wei juga akan turun ke gelanggang pada Februari bagi Kelayakan Piala Thomas dan selepas itu Seluruh England (Mac).

Semangat Chong Wei kuat

Dalam pada itu, Hendrawan turut yakin Chong Wei mampu mengekalkan momentum sedia ada dan berusaha memberikan aksi terbaik selepas ini dalam usaha untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Hendrawan berkata, Chong Wei di landasan terbaik membawa pulang emas Sukan Olimpik tahun depan.

“Bukan mudah untuk Chong Wei bangkit selepas lapan bulan digantung akibat masalah doping, ketika itu pelbagai kritikan dan cemuhan di lempar kepada dia.

“Tapi semangat dia yang tak pernah putus asa membolehkan dia kembali ke zaman kegemilangannya.

“Saya yakin dia akan mengekalkan semangat ini dan beraksi lebih baik tahun depan,” katanya.

Tambah Hendrawan, beliau akan terus memberi bantuan sepenuhnya dalam persediaan Chong Wei untuk menghadapi cabaran di temasya sukan terbesar dunia itu.

Chong Wei sebelum ini meraih dua pingat perak di Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");