Sukan Hari Ini

Impian besar Ronaldinho

Kuala Lumpur: Ketika Patrick Ronaldinho Wleh masih dalam kandungan ibunya Evelyen, dia sudah bergelar anak yatim apabila ayahnya meninggal dunia dalam perang saudara di Liberia pada 1990.

Beberapa bulan kemudian iaitu pada 17 Jun 1991, Ronaldinho menjengah dunia tanpa disambut seorang lelaki bergelar ayah.

Walaupun sangat terkesan dengan kematian suaminya, Evelyen tidak mahu membiarkan rasa duka memberi impak negatif kepada anak sulungnya itu dan seboleh-bolehnya, beliau berusaha memberi kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi kepada Ronaldinho.

Beberapa tahun selepas itu, Ronaldinho mendapat ‘ayah baru’ apabila ibunya berkahwin lagi dan dikurniakan seorang lagi anak lelaki dan dua perempuan.

Perkahwinan itu menyebabkan kekosongan yang dirasai Ronaldinho selama ini terisi. Walaupun sekadar menumpang kasih ayah tiri, namun dia mendapat perhatian seperti yang diberikan ayah kandung.

“Saya beruntung memperoleh seorang ibu yang kaya dengan kasih sayang. Sebagai seorang guru, beliau memang pandai mendidik dan memahami jiwa kanak-kanak. Bila berkahwin dengan bapa tiri saya, hidup saya selama ini yang tidak lengkap tanpa ayah bertukar sempurna,” kata Ronaldinho.

Seperti kanak-kanak sebayanya, Ronaldinho gila bermain bola di kawasan lapang dan kadang-kadang di atas jalan berhampiran rumahnya. Di atas padang tidak berumput yang dipenuhi kerikil, dia mengasah bakatnya.

Ketika rakan-rakannya hanya bermain suka-suka untuk mengisi masa petang, Ronaldinho sudah mula memasang impian menjadi pemain profesional bila dewasa kelak dan dia sering membayangkan dirinya menyarung jersi kelab terkemuka Itali, Juventus atau berangan-angan bermain di bawah kendalian Arsene Wenger di Arsenal ataupun mewakili kelab Marseille dalam Ligue 1.

Oleh itu, pada usia 10 tahun, Ronaldinho menyertai akademi bola sepak di Monrovia. Selama lima tahun dia di situ untuk melengkapkan diri menjadi pemain bola sepak profesional seperti yang diimpikannya.

Keluar daripada akademi, dia menyertai beberapa buah kelab yang bermain dalam Divisyen Tiga dan Dua, Liga Liberia sebelum dilamar pasukan remaja Gedi & Sons FC pada 2006.

Setahun selepas itu dia diserapkan ke pasukan utama yang bermain dalam Divisyen Satu.

Pada 2009, dia berpindah ke LISCR Monrovia dan turut disenaraikan dalam pasukan Bawah 23 Tahun Liberia. Peluang mewakili pasukan negara itu digunakan sebaik-baiknya oleh Ronaldinho untuk memperaga bakatnya bagi memikat kelab-kelab ternama terutama di liga Eropah.

Tapi, ketika dia memasang impian untuk beraksi sama ada di England mahupun Itali atau Perancis, tawaran yang tidak disangka-sangka datang daripada sebuah kelab yang langsung tidak pernah didengarnya.

“Jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria yang sedang mencari pemain import untuk pasukannya menemui saya selepas satu perlawanan. Dia menyatakan minat untuk menawarkan saya kontrak bermain dengan kelabnya.

“Ketika itu saya agak kebingungan. Sime Darby? Malaysia? Saya tidak pernah dengar nama ini. Saya tak banyak tahu mengenai negara Asia Tenggara. Saya pernah mendengar nama Indonesia, tapi nama Malaysia terlalu janggal buat saya.

“Tapi selepas berbincang dengan keluarga, saya menerima tawaran ini sebagai langkah pertama untuk saya mengembangkan bakat. Mana tahu dengan bermain di Malaysia, pencari bakat dari kelab Eropah akan nampak kebolehan saya,” ujar Ronaldinho.

Akhirnya, pada 2012, Malaysia menjadi destinasi pertama Ronaldinho bagi menjual bakatnya. Dia meninggalkan impak yang sangat besar kepada Sime Darby apabila menjaringkan 33 gol dalam 29 perlawanan.

Bagaimanapun, selepas hanya semusim menyarung jersi Sime Darby, Ronaldinho beralih angin kepada pasukan PKNS FC dan ternyata dia sangat serasi dengan kelab itu apabila baru-baru ini menyambung kontrak sehingga musim 2017.

“Prinsip hidup saya sangat mudah iaitu saya mahu melakukan sesuatu dengan rasa seronok. Wang saja belum tentu dapat membeli keseronokan. Sama juga dalam bola sepak, jika anda seronok bermain, anda akan kekal lama di situ dan akan dapat beraksi dengan prestasi maksimum.

“Saya seronok dan tidak menghadapi masalah sepanjang di PKNS, sebab itu saya menyambung kontrak. Walaupun kecil, namun kelab ini diurus secara profesional. Pemain tidak pernah menghadapi masalah gaji, sebab itu mereka boleh memberi prestasi terbaik.

“Di samping itu tiada sebarang tekanan bermain di sini. Ela (E Elaverasan, jurulatih PKNS), tidak pernah memberi tekanan atau menyalahkan saya atau pemain import lain jika kalah. Bagi beliau, kami menang sebagai satu pasukan dan kekalahan juga harus dipikul sebagai satu pasukan.

“Inilah sepatutnya yang ada dalam bola sepak, bukan hanya menuding jari kepada pemain import bila kalah. Saya kecewa jika jurulatih menuduh saya sebagai punca pasukan kalah. Itu tidak adil, kalau begini keadaannya, lebih baik saya angkat kaki walaupun gaji lumayan,” kata Ronaldinho.

Namun, Ronaldinho menegaskan, walaupun menyambung kontrak bersama PKNS, dia belum memadam impian untuk beraksi di pentas Eropah.

“Saya masih menyimpan harapan untuk bermain sama ada dengan Juventus, Arsenal atau Marseille. Saya rasa peluang itu tetap ada walaupun saya hanya bermain di Malaysia kerana pencari bakat dan ejen kelab berada di mana-mana saja.

“Saya hanya memerlukan satu peluang untuk membuktikan apa yang boleh saya lakukan di dalam padang. Saya yakin, jika dapat menunjukkan skil saya di depan Arsene Wenger, beliau akan terpikat dengan saya.

“Saya sudah dapat peluang itu apabila terpilih mewakili Pilihan Malaysia menentang Liverpool, Julai lalu. Walaupun menjaringkan satu gol namun saya tidak mempamerkan prestasi sebenar kerana tidak cukup persediaan kerana dipanggil saat akhir.

“Apatah lagi saya baru saja selesai menjalani penggantungan selama tiga bulan oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang mana telah menjejaskan prestasi saya,” katanya.

Ronaldinho turut membuka rahsia mengenai nama Ronaldinho yang menjadi nama tengahnya, sama dengan nama bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho yang pernah mewakili Barcelona dan AC Milan.

“Nama sebenar saya ialah Patrick Wleh. Nama Ronaldinho wujud selepas rakan sepasukan semasa di Liberia menyatakan wajah saya seiras pemain Brazil itu. Malah, mereka mula memanggil saya dengan nama tersebut dan akhirnya melekat pada diri saya

“Sebagai pemain, sudah tentu saya berasa bangga apabila disamakan dengan seorang legenda seperti Ronaldinho walau hanya sekadar rupa. Kebetulan, saya memang meminati pemain itu, jadi menumpang namanya memberi inspirasi dan semangat untuk beraksi,” kata Ronaldinho.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");