Jenayah

‘Ingatkan kucing, rupanya penyangak’

SABAK BERNAM: “Mulanya saya ingatkan kucing, tapi tak sangka rupa-rupanya penyangak yang cuba curi beg tangan di tingkap,” kata seorang penduduk, Noor Izzati Mohamed, 26.

Noor Izzati berkata, kejadian kira-kira jam 8 pagi itu disedarinya berlaku ketika dia sedang mengemas rumah sewanya di Taman Air Manis, di sini, sebelum terdengar bunyi bising di tingkap ruang tamu rumah berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dua anaknya sedang lena tidur di ruang tamu rumah, manakala seorang kakaknya pula berada di salah sebuah bilik tidur rumah berkenaan.

“Lama juga bunyi bising kat ruang tamu. Mulanya malas nak hirau, tapi mengenangkan anak tidur, saya terus ke ruang tamu, tapi terkejut apabila nampak seorang lelaki berbaju biru di luar tingkap rumah.

“Saya terus jerit sekuat hati dan lelaki itu tiba-tiba gelabah dan kemudiannya melarikan diri ke rumah jiran sebelah. Lepas saja saya jerit, jiran buka tingkap dan saya suruh lelaki itu keluar dari rumah terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia memberitahu, lelaki itu dipercayai rakan kepada anak jiran rumah tersebut dan melakukan kegiatan itu selepas mendapati pintu pagar rumahnya itu tidak ditutup selepas suaminya keluar bekerja.

“Dia mengaku mencuri dan sempat tukar baju yang dipakainya sebelum ini. Berkali-kali dia mohon maaf dan sesal dengan perbuatannya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk taman itu yang mendakwa lelaki terbabit cuba mencuri beg tangan mangsa melalui tingkap.

Menurut Zulkifli, dia bersama seorang lagi ahli KRT taman itu terus bergegas ke rumah berkenaan dan menghubungi polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Suspek berusia 19 tahun itu telah kita serahkan kepada Unit Peronda Polis (MPV) untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, ia merupakan kejayaan pertama KRT taman itu sejak ditubuhkan 8 Oktober lalu dalam usaha membanteras aktiviti jenayah dan gejala sosial lain.

“Kita ada seramai 30 ahli KRT di taman ini. Kita harap kejayaan ini menyuntik semangat bukan saja KRT tetapi penduduk untuk berganding bahu dalam menangani kegiatan jenayah,” ujarnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");