Isu Panas

Isu tanding kerusi Pas, bukan masalah besar

KOTA BHARU – “Tiada apa yang menarik,” kata Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengulas dakwaan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad mengenai alasan rancangan DAP untuk bertanding lapan kerusi di Selangor.

Menurutnya, jika Khalid mengatakan DAP bertanding disebabkan oleh kurang keyakinan dengan Pas, maka Pas juga bertindak dengan alasan yang sama.

“Pas pun akan bertanding di kawasan DAP dengan alasan sama. DAP bukan lagi rakan tahaluf Pas. Bahkan bagi Pas, DAP terbukti sebuah parti yang panas, yang bersifat memaksa.

“Halau hudud masuk parlimen. Halau Pas dari Pakatan Rakyat (PR). Sekarang halau Pas dari kerajaan Selangor. Politik ‘big bos style Amerika’ ini orang tidak boleh pakai di Malaysia,”katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Khalid yang menafikan tindakan DAP untuk bertanding di lapan kawasan di Selangor disebabkan oleh kurang keyakinan kepada rakan baru mereka iaitu Amanah, tetapi sebaliknya tidak yakin langsung dengan Pas.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu, Pas juga tidak gentar dengan apa sahaja halangan yang sedang didepani kini malah Pas sentiasa positif dengan polisi perjuangan sedia ada.

“Semakin hari Pas semakin positif di mata rakyat. Ini adalah hasil polisi sederhana yg dipraktikkan oleh Pas yang mengelak kepanasan politik yang tidak terkawal,”katanya.

Sebelum ini, DAP mengumumkan persiapan untuk meletakkan calon dan bertanding di lapan kerusi Dun Selangor yang kini dipegang oleh Pas.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua didakwa sebagai berkata, keputusan akan dimaklumkan kemudian selepas perbincangan mesyuarat Pakatan Harapan Selangor diadakan, sama ada DAP akan bertanding untuk semua kawasan tersebut ataupun beberapa daripadanya.

Lapan Dun tersebut ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");