Panasnya Hari Ini

Jamil Khir Tuntut Permohonan Maaf Daripada NOW

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir merupakan satu fitnah dan menyimpang daripada fakta yang sebenar.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, Jamil berkata, dakwaan yang dibuat oleh Ketua Cabang Keadilan (Johor Bharu) itu yang menyatakan bahawa beliau menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai adalah satu kenyataan jahat.

Ujarnya, ia merupakan perbuatan yang tidak adil kerana hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan beliau di sana.

“Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan.

“Saya menuntut Akmal Nasir, Pengarah NOW dan The Malaysian Insider menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya,” tegasnya.

Tambahnya lagi, kunjungan yang dibuat pada 21 hingga 29 Mei 2014 yang lalu adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaannya terutamanya YaPEIM dengan kerjasama Kedutan Malaysia di Amerika Syarikat dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game.

Katanya lagi, program berkenaan telah menghimpunkan lebih 1000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada.

“Melalui strategi penganjuran bersama secara “Strategi Lautan Biru” khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan,” katanya.

Jelasnya, program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi Kenegaraan dan Keusahawanan; Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan, Pengurusan dan Isu-isu Semasa Negara; Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia.

Justeru itu, tegas Jamil lagi, dakwaan yang mengatakan kononnya program lawatan beliau di AS lebih bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim merupakan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri di JPM bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya.

“Segala perjalanan dan kegiatan rasmi saya ditanggung oleh agensi berkenaan mengikut polisi dan tatacara kewangan agensi berkaitan,” tegasnya lagi.

Jamil juga menyatakan kesediaannya untuk memberikan kerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan dirinya atau agensi di bawah seliaan beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");