KUANTAN: Seorang lelaki yang memiliki 12 rekod jenayah lampau diberkas selepas kereta yang dinaiki bersama tiga rakan terkandas di Lorong Sri Teruntum selepas dikejar empat kereta peronda polis, awal pagi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, polis cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta dinaiki empat individu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, terkejut dengan kehadiran polis, pemandunya bertindak memecut kereta melarikan diri menyebabkan hebahan bantuan unit kereta peronda (MPV) dilakukan bagi menahan kenderaan dinaiki suspek.
“Empat kereta peronda yang dikerah berjaya memintas kereta dinaiki suspek di Lorong Seri teruntum selepas mengejarnya selama kira-kira 15 minit,” katanya.
“Seorang suspek berjaya diberkas, manakala tiga lagi rakannya yang berada dalam kereta jenis Proton Wira itu sempat melarikan diri,” katanya.
Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg silang milik suspek, polis menemui dan merampas satu paket kecil syabu, empat biji pil eramin 5 dan satu paket kecil berisi dadah disyaki morfin.
“Suspek dibawa balik ke balai untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine.
“Semakan rekod jenayah juga mendapati suspek berusia 33 tahun itu memiliki 12 rekod lampau berkait kes dadah dan jenayah,” katanya.
Katanya, polis giat mengesan tiga lagi rakan suspek yang berjaya melarikan diri dalam kejadian itu.
-Sinar harian