Kota Bharu: Persiapan The Red Warriors (TRW) dalam menghadapi Liga Malaysia musim 2016 semakin terjejas apabila permohonan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi mendapatkan dana RM2 juta daripada kerajaan negeri tidak dipenuhi.
Keadaan itu meresahkan Presiden Tan Sri Annuar Musa, apatah lagi, hutang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pemain dan pegawai masih belum berbayar.
Melalui luahan hati dalam laman sosialnya kelmarin, Annuar tidak menyembunyikan rasa kecewa apabila menerima surat rasmi daripada Pejabat Menteri Besar bertarikh 29 Oktober lalu memaklumkan permohonan KAFA ditolak kerana keadaan kewangan kerajaan negeri tidak mengizinkan.
Annuar berkata, ketika kerajaan negeri lain rancak membantu pasukan bola sepak masing-masing dengan menghulurkan bantuan kewangan sehingga melebihi RM15 juta, Kelantan pula sudah tiada tempat untuk mengadu.
“Masalahnya kita tak berkemampuan kerana tiada dana. Semua pasukan lain ada bajet besar. Pulau Pinang sudah isytihar RM18 juta, Melaka RM14 juta, Selangor RM20 juta.
“Kelantan pula, bagai tiada ‘ayah dan ibu’, terus pening mencari jalan mendapatkan sumber kewangan bagi membentuk pasukan musim depan.
“Jika berterusan, tidak mustahil, kita terpaksa melepaskan pemain bertaraf bintang sebagai langkah jimat cermat.
“Kami (KAFA) sudah tidak ada tempat lain untuk mengadu. Sebelum ini, saya terpaksa tebalkan muka ke bank termasuk berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memohon bantuan membayar gaji pemain,” katanya.
Difahamkan, jika KAFA gagal membayar wang caruman KWSP itu, Kelantan tidak boleh mendaftar pasukan sekali gus peluang bermain dalam Liga-M musim depan samar.
Annuar turut mendedahkan, persatuannya ketika ini mengalami defisit hampir RM3 juta.-harian metro