Jenayah

Keliru data berbeza tarah bukit

GEORGETOWN – Kerajaan negeri diminta menjelaskan data sebenar mengenai jumlah lot tanah bukit yang ditarah tanpa kelulusan.

Ketua Biro Pengaduan Awam Pemuda Gerakan, Jason Loo berkata, statistik yang diberi Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berbeza dengan Laporan Ketua Audit Negara.

Menurutnya, perbezaan itu memperlihatkan pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang kini makin tidak konsisten sehingga mengelirukan rakyat.

“Percanggahan angka yang diberikan Kon Yeow, Guan Eng dan Laporan Audit Negara mengelirukan kerana sangat berbeza antara satu sama lain.

“Ia menyukarkan rakyat untuk mendapat penjelasan mengenai jumlah tanah bukit yang ditarah tanpa kelulusan khususnya di bahagian pulau,” katanya.

Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 yang dikeluarkan baru-baru ini menyebut 268 lot tanah dikesan menjalankan kerja-kerja pembangunan tanpa kelulusan bagi tempoh 2012 hingga 16 Mac tahun ini manakala Kon Yeow dalam sidang Dun minggu lalu menyatakan hanya 68 lot dikesan.

“Lebih mengelirukan apabila Guan Eng beberapa kali menyatakan bahawa Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah meluluskan sebarang projek pembangunan tanah pada ketinggiannya melebihi 76 meter,” katanya.

Menurutnya, pada 18 November lalu, Kon Yeow berkata, 56 lot tanah projek pembangunan diluluskan sejak 2008 namun Guan Eng sebelum ini mengatakan kerajaan negeri bawah pimpinannya tidak pernah meluluskan sebarang projek.

“Data mana yang betul dan tepat. Mengapa ada perbezaan antara exco dengan ketua menteri?

“Saya juga menuntut jawapan berhubung kelulusan pembangunan tanah tinggi yang melebihi 76 meter atau 250 kaki dari aras laut. Ini kerana, tiada pembangunan boleh dilakukan pada ketinggian itu seperti yang termaktub dalam pelan pembangunan Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng yang ditemui pada sidang media di pejabatnya semalam, enggan mengulas mengenai isu itu.

Menurutnya, isu berkenaan akan dijawab exco yang bertanggungjawab dan tidak perlu dibangkitkan.

“Isu ini perlu dijawab oleh exco atau pegawai kewangan negeri. Saya rasa tidak perlu dibangkitkan pada hari ini (semalam).

“Kerajaan Pulau Pinang sentiasa memberi perhatian serius terhadap Laporan Ketua Audit Negara,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");