Berita Hari Ini

Kerajaan belanja RM2.2b setahun untuk pesawah

KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan RM2.2 bilion setahun bagi menyediakan pelbagai bentuk insentif kepada pesawah padi untuk meningkatkan pengeluaran beras negara dan pendapatan golongan berkenaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata insentif itu merangkumi pemberian benih padi, baja dan subsidi harga padi serta beberapa bantuan lain.

“Bantuan terdiri daripada benih padi sah di mana setiap hektar kita bagi 140 kilogram (kg) benih, kita juga bagi baja asas iaitu urea dan sebatian empat beg bagi setiap hektar dan 12 beg sebatian setiap hektar dengan nilai RM560 sehektar.

“Selain daripada itu, kerajaan menyediakan insentif baja tambahan, baja-baja yang lain seperti NPK, Baja Foliar, Growth Enhancer dan sebagainya. Kita beri RM400 untuk NPK dan RM140 untuk baja tambahan yang lain serta bantuan racun RM200,” katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memperluaskan skim elaun sara hidup kepada penoreh getah dan pesawah padi sebagaimana yang diberikan kepada nelayan.

Tajuddin berkata pesawah juga menikmati bantuan membajak tanah sawah sebanyak RM100 dan bantuan kapur bagi setiap tiga musim sekali bernilai RM905.

“Pesawah padi juga menikmati subsidi harga padi di mana ketika ini RM248 setiap metrik tan tetapi bermula tahun depan bantuan itu dinaikkan kepada RM300 setiap metrik tan,” katanya.

Sementara itu, bagi petani padi huma dan padi bukit di Sabah dan Sarawak, kerajaan menyediakan bantuan 200kg atau lapan beg baja sebatian bagi setiap hektar di mana setiap beg baja berkenaan bernilai RM62.

Katanya, mereka juga menikmati bantuan baja urea cecair 15 liter sehektar yang bernilai RM224.50.

Secara keseluruhannya, Tajuddin berkata pesawah padi menikmati bantuan sebanyak RM2,540 sehektar, sementara petani padi bukit dan padi huma menikmati bantuan sebanyak RM950 sehektar.

Katanya jumlah ini adalah lebih besar berbanding elaun sara hidup RM200 yang dinikmati nelayan, yang diberikan kerajaan bagi membantu nelayan menyara kehidupan disebabkan ketidaktentuan pendapatan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");