Sukan Hari Ini

Kim Swee dipanggil untuk temuduga FAM

KUALA LUMPUR – Jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee mengakui menerima surat panggilan menghadiri temuduga daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengendalikan pasukan Bawah 23 tahun (B-23) negara walaupun tidak membuat permohonan.

Pengakuan tersebut sekali gus merungkai misteri siapa salah seorang daripada tiga calon yang disenarai pendek yang sebelum ini enggan didedahkan oleh FAM untuk membimbing pasukan B-23 atau kini dikenali sebagai skuad Projek Sukan SEA 2017.

Dua lagi calon dikatakan jurulatih dari Jerman yang tidak didedahkan nama mereka.

Kim Swee, yang bakal menjangkau usia 45 tahun pada 11 Disember ini berkata, dia sedia menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tugas Khas FAM berhubung masa depannya bersama skuad B-23.

“Saya telah menerima surat menyatakan bahawa saya perlu menghadiri temuduga pada 1 Disember ini selain perlu memberikan panda­ngan atau program untuk menyediakan pasukan untuk Sukan SEA 2017.

“Memandangkan saya sudah terlibat dengan ketiga-tiga Sukan SEA sebelum ini, jadi pandangan saya ini mungkin boleh diterima atau sebaliknya. Malah, FAM akan memikirkan adakah saya masih lagi relevan untuk mengendalikan skuad B-23… terpulang kepada FAM.

“Apa yang penting, pandangan atau program yang disampaikan oleh setiap jurulatih yang terlibat atau pun yang dipanggil, mungkin akan membantu (membentuk skuad Projek Sukan SEA 2017),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tugas Khas FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad memberitahu, panel pemilihan khas FAM bakal menemuduga tiga calon yang disenarai pendek pada 1 Disember ini.

Mokhtar berkata, tiga calon tersebut akan ditemuduga pada minggu hadapan sebelum Jawatankuasa Tugas Khas FAM meng­umumkannya segera tanpa perlu menunggu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM berikutnya.

Kim Swee berada dalam senarai calon jurulatih skuad B-23 walaupun lebih berminat untuk menjadi jurulatih tetap Harimau Malaya setelah menghantar permohonan rasmi untuk jawatan itu selepas perletakkan jawatan Dollah Salleh.

Begitu pun, Kim Swee berkata, dia melihat situasi tersebut bukan satu masalah besar buat dirinya dan bersedia menyerahkan bulat-bulat keputusan tersebut kepada FAM.

“Sama ada menjadi jurulatih Harimau Malaya atau skuad B-23, kedua-duanya penting. Ini bukan masalah besar bagi saya. Terpulang kepada FAM untuk menentukan.

“Mereka tahu tentang kredibiliti saya dan saya juga sudah lama bekerja dengan FAM. Bagi saya dua-dua jawatan itu penting. Sebab kita akan berdepan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan juga Piala AFF tahun depan,” ujarnya.

Seandainya Kim Swee terpilih sebagai jurulatih B-23, ini bermakna dia akan muncul sebagai jurulatih tempatan paling banyak mengemudi pasukan bola sepak kebangsaan dalam kempen Sukan SEA iaitu pada 2011, 2013 dan 2015.

Sementara itu, menjelaskan situasi bagaimana pengendali itu boleh tersenarai, salah seorang panel pemilihan jurulatih B-23, B. Sathianathan berkata, Kim Swee boleh dicalonkan untuk memenuhi jawatan skuad B-23 sekali pun dia tidak mengemukakan permohonan.

“Kim Swee masih lagi memegang jawatan jurulatih B-23 sehingga tamat kontrak hujung Disember ini, jadi memang tak perlu hantar permohonan pun tak apa. Asalkan dia menyatakan minat untuk menyambung kontrak sudah cukup, walaupun dengan hanya menyatakan secara lisan.

“Cuma, permohonan tersebut harus dikemukakan oleh individu yang bukan pengendali skuad B-23 sekarang,” katanya.

Selain Sathianathan, dua lagi panel pemilihan daripada FAM adalah Timbalan Pengerusi Teknikal dan Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Belia FAM, Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor serta Pengarah Teknikal, Fritz Schmid. Tiga lagi panel pemilihan adalah dari Majlis Sukan Negara (MSN).

– http://www.utusan.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");