Sukan Hari Ini

Kim Swee salah catur strategi

Ada sedikit berita baik serta sedikit berita buruk. Berita baik pasukan bola sepak Malaysia menduduki tangga kedua dari segi jumlah gol dibolosi. Di tangga teratas pasukan Bhutan sudah dibolosi 45 gol manakala Malaysia 26 gol selepas enam perlawanan.

Berita buruk pula, Bhutan menjaringkan tiga gol manakala Malaysia hanya dua selepas enam perlawanan. Ini bermakna kita boleh membuat penilaian pasukan kita lemah dalam kedua-dua aspek bola sepak. Kelemahan ini dianggap total.

Perlawanan menentang Palestin kelmarin menimbulkan soalan strategi yang dirancang ketua jurulatih. Malaysia menurunkan empat pemain penyerang yang tidak mahir atau selesa melakukan tindakan defensif. Secara automatik, kita kehilangan tenaga empat pemain sewaktu pasukan Malaysia tidak menguasai bola.

Susunan strategi dengan Wan Zack Haikal Wan Noor, Ahmad Hazwan Bakri serta Christie Jayaseelan menyokong penyerang utama, Amri Yahyah seperti menyerah kalah sebelum sepak mula. Setiap jurulatih ada strategi sendiri tetapi setiap jurulatih harus menyusun strategi yang realistik. Adakah kita sudah bongkak kerana mengalahkan Timor Leste dalam perlawanan sebelum ini?

Adakah pihak kejurulatihan begitu yakin dengan kebolehan pemain sehingga menyusun strategi menurunkan empat pemain yang belum tentu boleh memukul nyamuk, apatah lagi pemain Palestin?

Adakah ketua jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee rasa tertekan kerana inginkan jawatan ketua jurulatih sepenuh masa sehingga berani bertaruh dengan menyusun strategi untuk menyerang?

Bola sepak hanya ada dua strategi. Strategi untuk menang dan strategi untuk mengelak kekalahan. Tapi dengan keadaan keputusan serta persembahan pasukan Malaysia maka kita terpaksa menambah satu lagi strategi. Strategi mengelak daripada kekalahan teruk.

Dalam situasi semasa serta tahap persembahan yang hilang sengat bersaing, maka langkah untuk menaikkan taraf permainan adalah dengan meningkatkan saingan liga tempatan. Perkara ini boleh dilakukan dengan dua cara. Pertama, tingkatkan pembangunan pemain sedia ada dengan tumpuan kepada aspek daya ketahanan.

Di sini kita perlukan ‘testing methods’ serta ‘testing standards’ supaya dapat menyusun program kecergasan keseluruhan. Program yang disediakan untuk semua peringkat umur perlu disebarkan ke semua pelusuk negara supaya setiap jurulatih serta setiap pasukan, baik peringkat umur, amatur atau profesional melaksanakannya dengan segera.

Kemungkinan pihak Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) boleh minta bantuan dan kerjasama Bayern Munich untuk berkongsi ilmu bagi meningkatkan aspek fizikal pemain.

Seterusnya, untuk meningkatkan tahap permainan dalam liga tempatan maka pemilihan pemain asing harus mengikuti kriteria yang lebih tinggi.

Sudah tiba masanya untuk pasukan profesional Liga Super serta Liga Perdana lebih bertanggungjawab mencari khidmat pemain asing yang boleh mendatangkan faedah kepada pasukan serta liga. Pada musim sebelum ini, ada pemain asing yang menunjukkan prestasi buruk.

Kedua-dua pemain pertahanan tengah, Jonathan McKain yang mewakili Kelantan serta Obinna Nwaneri (ATM) begitu lembap sehingga menjejaskan prestasi pasukan terbabit.

Adakah pemain tengah Mario Karlovic membawa keistimewaan kepada ATM sehingga pasukan itu hilang tempat dalam saingan Liga Super?

Adakah ketua pasukan Sarawak Ryan Griffiths berjaya mengubah mentaliti pasukan dengan prestasi beliau?

Kelakuan Paulo Rangel membawa padah kepada Terengganu. Sebelum ini pula Rangel pernah digantung ketika mewakili Selangor. Jelas motivasi serta tumpuan pemain ini terganggu.

Pemain asing yang ternama seperti Jerry Palacios pula ‘tak pulang modal’.

Janganlah bola sepak Malaysia menjadi ‘dumping ground’ untuk pemain asing yang lebih buruk dari sederhana.

Untuk kembalikan maruah serta prestasi bola sepak, Malaysia memerlukan kerjasama serta persefahaman semua pihak dan bukannya menuding jari.

Kerana akhirnya, jari itu akan menuding diri sendiri.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");