Membawang Hari Ini

Lagu Sheila Majid tunjang Sinaran

Pengarah terkenal Osman Ali mengakui dia sukar mendapat kepuasan ketika mengarah filem muzikal terbarunya berjudul Sinaran kerana skripnya ditulis orang lain.

Malah, dia pernah bertegang urat dengan penulis skripnya, Kevin Chin atas beberapa perkara termasuk dalam pemilihan lagu kerana masing-masing mempunyai lagu pilihan.

Filem terbitan Nuansa Pictures dengan kerjasama syarikat produksi Singapura, Sinaran Pictures ialah filem muzikal yang menggunakan lagu Datuk Sheila Majid.

Ia menggandingkan pelakon dari Malaysia, Indonesia dan Singapura seperti Lisa Surihani, Izara Aishah, Evan Sanders, Syarif Ahmad dan Nadiah M Din.

Filem yang menjalani pengambaran di Singapura dan Pulau Batam, Indonesia ini mula ditayangkan di seluruh negara, Singapura dan Brunei, esok.

Osman yang sangat meminati Sheila berkata, dia dan Kevin sukar membuat keputusan terhadap lagu yang hendak digunakan dalam filem yang menggunakan judul satu daripada lagu popular Sheila ini.

“Banyak cabaran perlu dilalui bagi menghasilkan Sinaran. Saya menerima tawaran mengarahkan filem ini kerana begitu mengagumi Sheila dan kebanyakan lagunya saya hafal sejak kecil.

“Apabila diberi peluang keemasan seperti ini pastinya saya begitu teruja. Namun, apabila skripnya bukan dihasilkan saya, ada beberapa perkara yang sedikit menyukarkan,” katanya.

Menurut Osman, dia turut berdepan kesukaran kerana skrip asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris dan dia perlu menterjemahkannya semula dalam bahasa Malaysia mengikut apa yang dibayangkannya dan disukai penonton.

Osman berkata, dia juga bersyukur kerana penggambaran di Singapura berjalan lancar termasuk babak di Universal Studios Singapura (USS) yang agak mencabar.

“Babak nyanyian di USS membabitkan 80 pelakon tambahan dan kami cuma diberi masa tidak lebih dari dua jam.

“Selepas waktu Subuh kami sudah berada di sana bagi memastikan masa yang ada dapat digunakan sebaiknya.

“Saya pula baru pertama kali mengarah filem muzikal, namun bersyukur semuanya berjalan lancar,” katanya.

Filem Sinaran mengisahkan sekumpulan pelajar kolej yang menyertai pertandingan tarian.

Dalam pada merebut siapa yang layak menjadi ketua tarian, berlaku salah faham sehingga dikhianati teman baik sendiri.

Evan gementar pegang tangan Lisa

Pelakon Indonesia, Evan Sanders gementar apabila perlu melakonkan babak dia berpegangan tangan dengan Lisa Surihani.

Katanya, dia meminta izin daripada Lisa untuk melakukan babak itu berikutan status pelakon jelita itu sebagai isteri orang.

“Saya memang gementar, namun sikap profesional Lisa memudahkan kerja kami. Dia tidak kisah kerana menganggap itu sekadar lakonan,” katanya.

Selain itu, cabaran yang turut dihadapi Evan ialah apabila dia perlu menyanyikan semula lagu Sheila antaranya Cinta Jangan Kau Pergi dan Antara Anyer dan Jakarta.

“Apabila penerbit meminta saya menyanyikan lagu berkenaan, saya akui ia satu tugas berat kerana ia lagu daripada penyanyi hebat. Saya terima cabaran itu walaupun dalam hati bimbang akan mendapat komen negatif terutama daripada Sheila sendiri.

“Apabila saya bertemu Sheila ketika tayangan perdana filem ini di Singapura, baru-baru ini, dia memuji nyanyian saya. Rasa lega kerana dia menyukai apa yang saya bawakan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");