Jenayah

Lelaki lemas ketika selamatkan anak saudara

JELEBU: Tindakan seorang lelaki yang mahu menyelamatkan anak saudaranya daripada lemas di sebuah sungai di kebun kelapa sawit di Felda Pasoh 1, di sini, kelmarin, berakhir dengan tragedi memilukan.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa, Husairi Wahab, 43, meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya berusia sembilan tahun itu.

Difahamkan, mangsa dan anak saudaranya itu bersama rakan-rakan bermandi-manda di sungai yang dikenali sebagai Sungai Pijot oleh penduduk kampung.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Pegawai Bomba Kanan II Shaharudin Hattan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 6.11 petang.

“Sebuah jentera membabitkan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 6.50 petang.

“Sebaik tiba, rakan mangsa menunjukkan lokasi terakhir mangsa dilihat terkapai-kapai di dalam sungai tersebut. Usaha mencari diteruskan dan mangsa ditemui di dasar sungai yang kedalaman empat meter itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa mangsa keluar dari dasar sungai menggunakan tali.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Klawang untuk bedah siasat.

“Anak saudara lelaki mangsa bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");