Jenayah

Lena tidur sebelum terhidu bau asap

BUTTERWORTH – Pemilik sebuah syarikat barang lusuh kerugian ratusan ribu ringgit selepas stor barangnya yang terletak di Jalan Siram, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Khairul Anwar Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.47 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

“Ketika pihak bomba tiba, api sedang marak di kawasan stor yang melibatkan dua bahagian iaitu tempat penyimpanan plastik dan perabot. Keluasan stor itu kira-kira 1.2 hektar,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu turut memusnahkan satu unit bangunan dua tingkat yang menempatkan pejabat di tingkat bawah dan asrama pekerja di bahagian yang terletak bersebelahan stor berkenaan.

Katanya, pekerja di situ sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran berlaku.

Mohd Khairul berkata, seramai 21 pegawai dan anggota bomba dengan tiga jentera serta dibantu kira-kira 30 anggota bomba sukarela terlibat dalam operasi memadam kebakaran berkenaan.

“Pihak bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran kira-kira pukul 7.10 pagi dan memadam keseluruhan kebakaran itu kira-kira 10 minit kemudian. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja di situ yang enggan dikenali berkata semasa kebakaran itu, dia dan beberapa lagi rakan sedang tidur di asrama sebelum terhidu bau asap.

“Saya terus bangun dan melihat bahagian stor tempat menyimpan barangan lusuh telah terbakar, saya kejutkan kawan-kawan dan kami keluar dari asrama untuk menyelamatkan diri,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");