Membawang Hari Ini

Lizzy tak hilang semangat

Mulanya, bakat Elizabeth Tan hanya dipertonton menerusi YouTube. Ramai yang menyukai suara dan cara wanita berketurunan Cina itu menyanyi. Popularitinya meningkat apabila muncul dengan lagu Knock Knock.

Walaupun peminatnya bertambah dari hari ke hari, wujud juga golongan pembenci (haters) yang mencemuh vokalnya. Mereka katakan suara Elizabeth atau Lizzy tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan tidak layak tersenarai dalam Separuh Akhir Muzik Muzik 30.

Tetap positif, Lizzy juga sama seperti penyanyi lain yang sentiasa memperbaiki kelemahan dan mengukuhkan vokal mereka.

Katanya, dia bersetuju dengan komen itu namun sedikit pun tidak menjatuhkan semangatnya.

“Memang benar apa yang mereka katakan. Saya akui vokal saya tidak sehebat penyanyi lain. Masih banyak teknik yang perlu saya kuasai. Tetapi pandangan mereka itu tidaklah mengganggu emosi saya bahkan membuatkan saya ingin terus berusaha untuk menjadi lebih baik.

“Berjaya menempatkan diri dalam Separuh Akhir Muzik Muzik 30 satu penghargaan buat saya. Saya tahu juri mementingkan kualiti vokal dan saya akan cuba yang terbaik mempersembahkan lagu itu. Kita sama-sama nantikan persembahan saya,” katanya.

Anak didik Faizal Tahir itu tidak menjangka akan tersenarai ke peringkat separuh akhir yang bermula malam ini dan disiarkan di TV3.

Katanya, dia tidak tahu bagaimana menggambarkan perasaannya apabila ada bertanyakan perasaannya apabila mengetahui Knock Knock tersenarai untuk dipertandingkan ke separuh akhir.

“Namun yang jelas, saya terkejut dan waktu sama takut. Timbul rasa bimbang kerana berdepan dengan komitmen lain serta persiapan untuk menyampaikan lagu itu. Seminggu tidak cukup untuk melakukan semua persiapan yang diperlukan.

“Ini pengalaman baru buat saya kerana persembahan untuk menghiburkan penonton dan pertandingan adalah dua perkara berbeza.

“Tetapi saya akan tetap cuba melakukan yang terbaik. Bukan mudah untuk tonjolkan kelainan pada vokal dan lagu itu sendiri.

“Bagaimanapun, saya akan lebih memberikan tumpuan pada vokal. Sama ada berjaya sekali gus meletakkan lagu itu bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL) nanti, saya sendiri tidak tahu,” katanya.

Menurutnya, dia akan mengekalkan rentak sama dan memberikan nafas baru pada lagu berkenaan sekiranya Knock Knock tersenarai untuk dipertandingkan dalam AJL yang dijangkakan berlangsung Januari tahun hadapan.

“Saya juga tidak sempat berjumpa Faizal Tahir kerana masing-masing sibuk dengan jadual yang padat. Ikutkan, saya memang perlu berjumpa dengannya untuk meminta nasihat serta pandangan untuk persembahan nanti.

“Apatah lagi ini kali pertama untuk saya, memang saya sangat memerlukan sokongan. Walaupun tidak dapat bertemu, dia sempat WhatsApp saya dan berpesan buat yang terbaik.

“Itulah kata-kata semangat yang dia berikan kepada saya. Ada juga saya bertanya apa persiapan dan perkara yang perlu saya lakukan. Jawapan dia tetap sama agar saya melakukan sehabis baik,” katanya.

Selepas Knock Knock, Lizzy kini popular melalui lagunya dengan Faizal, Setia, bakal muncul dengan lagu baru.

Bagaimanapun katanya, dia masih mencari material dan kali ini akan mengekalkan genre pop walaupun hakikatnya dia menyukai lagu berunsur jazz.

“Kalau diberi peluang, saya mahu menyanyikan lagu seperti genre Norah Jones. Bagaimanapun, karya seperti itu selalunya kurang mendapat sambutan. Oleh itu, saya pilih untuk kekal dengan rentak pop.

“Saya suka lagu nyanyia Norah Jones. Kalau ada peluang, saya ingin nyanyikan lagu seperti itu tetapi saya tahu selera pendengar. Saya juga sukakan pop. Sebab itu tidak timbul masalah pun kalau saya kekal dengan genre pop.

“Sekarang ini masih dalam tempoh eksperimen lagi mencari genre lagu yang benar-benar sesuai dengan vokal saya dan gaya nyanyian saya. Saya beri setahun saja lagi untuk teruskan eksperimentasi ini,” katanya.

Katanya, single ketiga itu nanti akan dihasilkan komposer lain kerana dia ingin muncul dengan lagu bahasa Inggeris, bahasa Melayu serta bahasa Indonesia.

“Saya pernah muncul dalam program Music Everywhere terbitan stesen televi­syen di Indonesia dan ada peminat muzik yang menyedari kehadiran saya. Bagaimanapun untuk menambat hati mereka, rasanya agak sukar. Di sana terlalu ramai artis tempatan.

“Lagu Indonesia itu nanti memang bertujuan untuk dikeluarkan di Indonesia. Saya mahu cuba cipta nama di sana juga. Tidak salah kita mencuba. Saya juga akan gunakan khidmat komposer dari sana,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");