KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia menyasarkan gelaran juara keseluruhan pada edisi sulung Sukan Perkhidmatan Awam ASEAN (ACS) 2015 yang diadakan di negara ini mulai hari ini hingga 19 November.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh berkata, kontinjen negara yang diwakili 60 atlet perlu menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk mencapai sasaran tujuh daripada 12 pingat emas yang ditawarkan dalam lima jenis sukan.
Sukan itu adalah futsal yang diadakan di Pusat Futsal Triways, Shah Alam; badminton (Stadium Badminton Cheras), golf (Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara); ping pong (gimnasium 2 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil) dan tenping boling di Sunway Pyramid Megalanes, Petaling Jaya.
“Saya mahu kita jadi juara. Saya yakin 60 atlet negara adalah yang terbaik selepas dipilih daripada pertandingan MAKSAK (Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan),” katanya.
Jamil berkata demikian pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara, Datuk Zaiton Othman di sini, semalam.
Pada masa sama, Jamil turut meminta kontinjen negara mengekalkan disiplin, selain menjaga nama baik Malaysia.
Beliau turut memaklumkan atlet yang meraih pingat pada kejohanan ini akan diberi ganjaran menerusi Skim Insentif Sukan MAKSAK.
Dalam pada itu, Zaiton yang juga Pesuruhjaya Sukan yakin sasaran tujuh pingat mampu diraih selepas membuat persiapan rapi serta latihan intensif.
“Saya meletakkan harapan yang tinggi kerana kita ada struktur badan sukan khas untuk penjawat awam iaitu MAKSAK berbanding dengan negara ASEAN lain,” kata Zaiton. – BERNAMA