Berita Hari Ini

Malaysia tubuh pusat teknikal serantau UPU

KUALA LUMPUR – Malaysia telah mengadakan rundingan dengan Universal Postal Union (UPU) bagi penubuhan pusat teknikal serantau bagi perkhidmatan kewangan pos dikenali sebagai Sistem Kewangan Antarabangsa (IFS) di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan Ketua Pengarah UPU, Bishar A. Hussein di Berne, Switzerland semasa melakukan lawatan kerja selama enam hari ke Switzerland sejak Sabtu lepas.

Beliau berkata, penubuhan pusat tersebut sedang dilaksanakan antara UPU dan Pos Malaysia.

“IFS merupakan platform bagi pemindahan kiriman wang secara elektronik antara pengendali pos dalam UPU.

“Pos Malaysia mengetuai Projek Kiriman Wang Antarabangsa Asean bertujuan untuk membuka koridor kiriman wang rentas sempadan dalam kalangan anggota Asean dan antara Asean dan negara-negara lain, sebagai sebahagian daripada objektif inklusif kewangan Asean yang membolehkan kawasan-kawasan yang kurang diliputi mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan,” kata beliau kepada Bernama hari ini.

Jailani berkata, ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperluaskan perkhidmatan kiriman wang rentas sempadan ke kawasan luar bandar serta memberi perkhidmatan kiriman wang antarabangsa yang selamat dan boleh dipercayai kepada pekerja asing di Malaysia.

Beliau berkata, penubuhan Pusat Sokongan Teknikal Serantau untuk IFS akan membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai peneraju dalam membangunkan perkhidmatan kiriman wang antarabangsa di rantau ini.

“IFS dijangka akan dihubungkan dengan perkhidmatan kiriman wang bukan pos yang lain seperti bank dan perkhidmatan kiriman wang swasta (Western Union/Eurogiro/Moneygram),” katanya.

UPU, yang ditubuhkan pada 1874, merupakan forum utama bagi kerjasama antara pemain sektor pos dan membantu memastikan rangkaian produk dan perkhidmatan terkini yang benar-benar sejagat.

Pertubuhan antarabangsa itu memenuhi peranan sebagai penasihat, perantara dan perhubungan, dan menyediakan bantuan teknikal apabila perlu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");