Kuantan: Sejak kali pertama dianjurkan pada 1987, Piala Remaja Asia sering mencuri tumpuan kerana menerusi kejohanan itulah lahirnya pemain berbakat yang bakal menyarung jersi skuad senior pada masa akan datang.
Pakistan muncul juara ketika kejohanan berkenaan dianjurkan buat kali pertama di Karachi dan selepas itu, Pakistan, Korea Selatan dan India saja yang mendominasi saingan berprestij terbabit.
Namun memasuki era moden, Malaysia yang juga antara kuasa besar sukan hoki di Asia mula mempamerkan peningkatan prestasi dan buktinya mereka muncul juara buat kali pertama pada edisi ketujuh di Melaka tiga tahun lalu di bawah bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.
Kejayaan itu adalah satu sejarah skuad negara kerana belum pernah lagi Malaysia meraih pencapaian cukup besar di kejohanan antarabangsa.
Kini, Malaysia sekali lagi menganjurkan kejohanan yang memasuki edisi kelapan itu.
Selain berusaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tiga tahun lalu di bumi Hang Tuah, skuad bimbingan Arul Selvaraj juga mengintai tiket untuk layak ke Piala Dunia Remaja di India tahun depan.
Bagi legenda hoki Malaysia, Mirnawan Nawawi yang pernah beraksi selaku pemain serta menjadi pengurus untuk skuad Projek 2013 serta Projek 2016, Piala Remaja Asia mempunyai makna yang tersendiri.
“Di sinilah landasan terbaik untuk pemain muda membuktikan kemampuan mereka untuk terpilih bersama skuad senior pada masa akan datang.
“Begitulah juga senario yang berlaku di dalam skuad negara. Kalau tidak semua pun, saya yakin lebih separuh daripadanya pasti akan menyarung jersi skuad senior negara tidak lama lagi.
“Karier saya bermula daripada skuad remaja dan di kejohanan ini,” katanya.
Justeru itu, Mirnawan berharap semua barisan pemain negara yang beraksi pada kejohanan ini tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepada mereka.
“Walaupun misi utama kita adalah mencari tiket ke Piala Dunia Remaja pada tahun depan, saya berharap mereka yang terpilih dalam skuad kali ini memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk membuka ruang karier lebih cerah di masa depan,” katanya.-harian metro