Jenayah

Menangis terlepas sabitan bunuh

JOHOR BAHRU – Tiga sahabat terlepas hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, di sini semalam atas dakwaan membunuh seorang lelaki, di Kota Tinggi, dua tahun lalu.

Air mata kegembiraan menyelubungi pekarangan mahkamah di sini, apabila tertuduh ketiga, Mohd Farhan Rosli, 29, turut dilepaskan dan dibebaskan atas tuduhan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala dua rakannya yang lain didakwa bawah pertuduhan pindaan iaitu menghapuskan bukti.

Mohd Farhan bersama Ruhaizat Mohamad, 37, dan Mohamad Nur Umarul Tamrin, 22, didakwa membunuh Abdul Rashid Ismail, 33,di Jambatan Jalan Bypass Kota Tingi, di sini kira-kira jam 11 malam pada 15 Januari 2013.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung.

Hakim, Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie.

“Tiga elemen diteliti dalam kes ini iaitu identiti mangsa dapat dibuktikan, kecederaan yang dialami mangsa sehingga menyebabkan kematian juga dibuktikan dan punca kematian disebabkan tindakan daripada ketiga-tiga tertuduh tidak dapat dibuktikan,” katanya.

Pendakwaan juga gagal membuktikan penglibatan tertuduh ketiga (Mohd Farhan) dalam kes tersebut bagaimanapun memerintahkan Ruhaizat dan Mohamad Nur Umarul didakwa bawah pertuduhan pindaan Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda.

Mohd Sofian menetapkan 14 Disember depan bagi perbicaraan, kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Rahimah Abdul Majid manakala tertuduh diwakili, Zamri Idrus, Muhammad Abd Kadir dan Mohd Daud Ismail.

Air mata gembira

Pembantu Tadbir Operasi Majlis Perbandaran Kluang, Mohd Farhan memanjatkan rasa syukur dan gembira selepas dilepas dan dibebaskan atas tuduhan membunuh, dua tahun lalu.

“Saya rasa lega, itu yang saya dapat gambarkan perasaan ketika ini walaupun telah melalui detik sukar. Kehilangan emak ketika dalam tahanan kes ini, saya anggap ada hikmah di sebaliknya,” katanya yang ditemui di luar kamar mahkamah di sini, semalam.

Menurut ibu saudaranya, Roha Ahmad, 44, dia akan memberi sokongan kepada Mohd Farhan untuk memulakan kehidupan baharu secara bersendirian, selepas kematian ibunya, September 2013.

“Dia anak tunggal, dia terpisah dengan bapanya sejak usia empat bulan dan sehingga sekarang tidak diketahui di mana bapanya.

“Kakak saya, Anita, iaitu emak dia pula meninggal ketika dia dalam tahanan, akibat kanser hidung. Memang tidak dapat jumpa, malah ketika hayat ibunya, tidak dapat menyentuh dan peluk dia,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");