Panasnya Hari Ini

Muhiyiddin Persoal Pemecatan Hamidah

KUALA LUMPUR: Tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memecat Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng merangkap Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Hamidah Osman ternyata menimbulkan pelbagai persoalan, tegas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Hamidah, pemecatan beliau adalah disebabkan tuduhan beliau menghadiri satu majlis yang dihadiri oleh mantan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya berasa amat kesal dan dukacita dengan cara pemecatan Datuk Hamidah Osman daripada UMNO.

“Saya ingin bertanya, adakah menghadiri satu majlis bersama bekas Presiden UMNO, yang turut dihadiri oleh ramai pemimpin dan ahli UMNO yang lain, merupakan satu kesalahan disiplin?.

“Jika ia adalah satu kesalahan disiplin, maka saya rasa ramailah ahli UMNO yang terpaksa dilucutkan keahlian mereka dan tinggallah UMNO sebagai parti yang semakin kehilangan ahli dan penyokong,” katanya, menerusi satu kenyataan dilaman media sosial Facebook beliau, malam tadi.

Muhyiddin turut mempersoalkan sama ada pemecatan Hamidah mengikut serta mematuhi kehendak Perlembagaan UMNO dan prinsip ‘due process of law’.

“Datuk Hamidah juga menyatakan bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO.

“Saya tidak fikir pemecatan seseorang ahli boleh dibuat dengan hanya menghantar surat tunjuk sebab tanpa memanggil ahli yang berkenaan untuk membela diri,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jika dakwaan yang dibuat oleh Hamidah adalah benar bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti untuk membela diri, maka tindakan memecatnya daripada parti adalah jelas bercanggah dengan semangat Perlembagaan UMNO.

Ujarnya, pemecatan keahlian di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO juga seharusnya menjadi pilihan terakhir terhadap seseorang ahli jika beliau telah melakukan satu kesalahan besar yang melanggar Perlembagaan UMNO dan Tataetika sebagai ahli UMNO.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, beliau turut sedar bahawa sebagai Ahli MT, beliau terikat dengan sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh MT.

“Cuma adalah menjadi kewajipan saya untuk menyatakan pandangan saya mengenai sesuatu perkara yang dilihat bercanggah dengan kehendak Perlembagaan parti.

“Kepada segelintir mereka ini, saya ingin berpesan. Ingatlah, UMNO bukan parti milik mana-mana individu. UMNO adalah parti milik seluruh umat Melayu! Jangan dihiris hati orang Melayu dengan tindakan tidak amanah dan tidak bertanggungjawab anda semua,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");