Berita Hari Ini

Nafas peruntuk RM1j bantu mangsa banjir

MUAR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan memperuntukkan RM1 juta sebagai persediaan untuk membantu anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara yang menjadi mangsa banjir tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata tumpuan diberikan kepada negeri-negeri yang sentiasa dilanda banjir khususnya Kelantan, Kedah, Johor dan Pahang bagi meringankan beban mereka yang terlibat.?

“Peruntukan kita sediakan, namun akan melihat jumlah kerosakan yang dialami mereka dan kalau yang menjadi mangsa banjir terus bertambah, peruntukan yang disediakan ini juga akan bertambah.

“Semua PPK, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan pegawai pertanian perlu memberi laporan banjir di tempat masing-masing supaya semua keperluan dapat ditempatkan di satu pusat pengumpulan termasuk logistik disusun sebelum diagih kepada mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Jalinan Tani Muar di Dataran Budaya Kampung Parit Tengah Batu 18, Ayer Hitam, Bakri, di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Nafas, Datuk Ab Rahman Ismail dan Pengerusi Peladang Wanita (Peladangnita) Johor, Zarina Mohamed Bain.

Beliau juga menasihatkan petani yang mengusahakan sawah padi agar menuai hasil yang sudah matang dengan kadar segera sebelum musim tengkujuh ini bertambah buruk bagi mengelak mereka mengalami kerugian besar.

“Dapatkan nasihat dan panduan Jabatan Meteorologi untuk mengetahui keadaan cuaca terkini sebagai panduan bagi mengelak mereka mengalami kerugian,” katanya.

Sementara itu, berhubung hanya 5,000 daripada 850,000 anggota PPK yang masih belum melabur dalam Dana Peladang, beliau berkata, ia disebabkan masalah sistem transaksi yang dijangka selesai sehingga akhir tahun ini.

Katanya, ketika ini, anggota PPK perlu ke Ibu Pejabat Nafas di Kuala Lumpur untuk membuat pelaburan kerana tiada sistem yang membolehkan mereka melakukan transaksi di PPK masing-masing.

Beliau berkata masalah itu sedang diatasi membabitkan peruntukan RM7.9 juta bagi menyediakan sistem baharu yang akan membolehkan transaksi keluar masuk dilakukan di setiap PPK.

“Sistem ini akan siap hujung tahun ini sekali gus memudahkan anggota PPK membuat pelaburan,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");