Isu Panas

Pas enggan kerjasama

ALOR SETAR – Pas Kedah tidak akan menjalinkan sebarang hubungan atau kerjasama politik dengan Umno, khususnya di tengah-tengah kegagalan parti itu menerajui pentadbiran negeri sehingga menyerlahkan pelbagai kepincangan.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, tiada alasan untuk Pas memberi oksigen kepada Umno yang sedang kelemasan.

“Pas tidak mudah untuk melupai catatan negatif parti pemerintah itu sejak sekian lama. Kita harap penganjuran program memperingati 30 tahun syuhada Memali nanti adalah antara bukti komitmen Pas menolak pihak yang melakukan kezaliman.

“Bagi Pas, kewujudan Parti Amanah Negara (Amanah) di Kedah tidak akan mengubah dasar Pas serta tidak memadamkan tekad untuk menumbangkan BN pada PRU14. Apatah lagi mereka bukan parti yang kuat dan berpengaruh di Kedah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, Pas sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab mengurus tadbir Kedah jika diizinkan ALLAH pada pilihan raya umum nanti.

“Cabaran oleh Amanah Kedah supaya Pas mempelopori kerjasama dengan Umno merupakan strategi bersifat keanak-anakan untuk merasionalkan kewujudannya dalam arena politik tanah air.

“Taktik sebar kekeliruan itu adalah usaha terdesak Amanah untuk menarik ahli Pas menyertai mereka,” katanya.

Ahmad Fakhruddin yakin ahli Pas tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang mengkhianati parti Islam itu.

“Pas mempelawa mana-mana individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersatu bagi mewujudkan masyarakat madani dan negeri yang sejahtera.

“Justeru, tiada keperluan untuk kewujudan Majlis Ukhuwah Islamiyah Negara (Muin) seperti yang dicadangkan oleh pemimpin Perkasa baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, Pas tidak akan hampakan harapan rakyat untuk melihat parti yang sedang memerintah Kedah digantikan.

“Pas Kedah kini berjaya meloloskan dari kemelut politik dalaman dan sedang berada dalam fasa membuat pecutan baharu untuk muncul sebagai parti alternatif kepada rakyat setelah Umno dan BN ternyata gagal menjaga kepentingan rakyat.

Kelmarin, Pengerusi Amanah Kedah, Dr Ismail Salleh mencabar Pas untuk memulakan jalinan kerjasama dengan Umno sebagai menyahut seruan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyatakan kesediaan mencari titik persefahaman dengan parti Islam itu.

Ismail berkata, kedua-dua parti itu disaran menyegerakan bentuk kerjasama di Kedah sebagai pelopor kepada usaha itu di peringkat pusat.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");